redzuan.muharam@hmetro.com.my
Sungai Buloh: “Syukur kakak sudah selesai pembedahan malam semalam.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kakak saya… mungkin asbab kisahnya tular, ramai prihatin dan doa yang baik-baik buatnya”.
Itu kata Sharifah Zariena Syed Mansor, 37, ketika berkongsi perkembangan kakaknya,
Sharifah Noor Azleena Syed Mansor, 45, yang sebelum ini terbabit dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki bersama suami, Muhd Sufyan Baharom, 45, dan anak tunggal mereka, Muhammad Aryan Ziqri, 6, dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan.
Katanya, kemalangan berlaku berhampiran stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kampung Selamat, di sini kira-kira jam 2 pagi kelmarin.
Kisah itu mendapat perhatian warganet kerana sebelum kejadian, video Sharifah Noor Azleena keluar pada awal pagi sambil menolak Muhammad Aryan Ziqri yang autisme yang duduk di dalam kereta sorong bayi tular di laman sosial.
Berkongsi perkembangan semasa, Sharifah Zariena berkata, kejadian berlaku ketika kakaknya bersama suami dan anak mereka dalam perjalanan ke Uptown Damansara di Petaling Jaya, Selangor.
Menurut Sharifah Zariena, selepas kejadian, tiga beranak itu dikejarkan ke unit kecemasan sebelum dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, dekat sini.
Bagaimanapun, Sharifah Zariena berkata, kakak dan iparnya masih ditahan di wad hospital manakala anak saudaranya, Muhammad Aryan Ziqri yang cedera ringan pada bahagian dahi, kepala serta badan sudah dibenarkan pulang ke rumah pada petang hari kejadian.
“Kakak dan abang ipar awalnya tak sedarkan diri selepas kemalangan. Tapi kakak kemudiannya sedar tak lama selepas kejadian.
“Cuma, abang ipar yang belum sedar sampai sekarang. Kakak sudah buat pembedahan kira-kira jam 9.50 malam tadi bagi memasang tiub dan membuang lebihan darah yang masuk ke otak akibat pendarahan.
“Alhamdulillah, pembedahan kakak selesai dalam beberapa jam dan dia pun sudah mula bercakap. Doktor kata ada harapan sembuh cuma abang ipar yang mengalami pendarahan dalam otak saja belum sedar sampai sekarang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Sharifah Zariena, buat masa ini, dia bergilir-gilir dengan adik beradik lain untuk menjaga kakaknya di hospital.
Sebagai adik, Sharifah Zariena mengharap semoga orang ramai terus mendoakan supaya kakak dan abang iparnya segera diberi kesembuhan.
“Kakak tak banyak berkongsi dengan saya masalahnya tapi kami ada juga berjumpa dan terkejut bila dapat tahu dia sekeluarga terbabit dalam kemalangan.
“Kesempatan menjaga kakak beri saya peluang duduk dalam kasutnya jerana sejak menjaganya kelmarin, baru saya faham kisahnya terutama dalam menjaga dan memenuhi anak istimewa.
“Apa pun, saya sekeluarga doakan yang terbaik buat kakak dan semoga abanh ipar pun cepat sedar,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah penghantar makanan dikenali Muhammad Najmi, 29, membantu Sharifah Noor Azleena membelikan roti buat anak wanita itu, Muhammad Aryan Ziqri
Ia kerana Muhammad Najmi simpati melihat wanita berkenaan yang keluar berjalan pada awal pagi sambil menolak anak autisme yang duduk di dalam kereta sorong bayi.
Perkongsian Muhammad Najmi meraih perhatian warganet dengan rata-ratanya memuji sikap pemuda itu kerana membantu keinginan anak Sharifah Noor Azleena yang hanya mahu makan roti perisa vanila ketika itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd