Alia enggan berasa selesa

Alia enggan berasa selesa


PENEMBAK berpengalaman negara, Alia Sazana Azahari selesa merendah diri dengan kejayaan melakar rekod baharu pada Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok baru-baru ini.

Malah atlet berusia 33 tahun masih belum puas dengan kejayaan yang diraih itu dan bertekad untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, kejayaan tersebut hasil usaha dan sokongan pelbagai pihak, selain kerja keras yang dilakukan tanpa mengenal erti lelah serta jemu.

“Saya tidak akan rasa selesa kerana belum capai misi yang paling besar lagi. Ini adalah kejayaan yang terbesar dan saya bersyukur dengan ALLAH kerana memberi rezeki ini.

“Kejayaan ini terbukti hasil kerja yang konsisten dan saya akan teruskan latihan demi misi seterusnya buat negara. Ia juga membakar lagi semangat dan membuktikan saya mampu melakukannya,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pada aksi final di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 target, sekali gus memadam rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta oleh penembak Korea Selatan, Yang Jiin pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Laporan Sukan Sinar 18 Februari.

Penembak yang berasal dari Terengganu dan kini mewakili Persatuan Menembak Melaka (Baru) sejak 2023 itu turut mengimbas mengenai kejayaan tersebut dirasai menerusi satu perasaan yang bercampur baur, gembira dan hiba.

“Satu perasaan yang tidak dapat nak digambarkan. Hasil titik peluh, penah lelah, kekecewaan dan air mata. Akhirnya menghasilkan kejayaan.

“Saya juga tak jangka pecah rekod sebab hanya fokus pada proses latihan,” katanya.

Mengulas mengenai rekod berkenaan yang tidak diiktiraf sebagai rekod dunia, Alia Sazana, enggan memikirkan perkara itu, sebaliknya mahu fokus kepada usaha untuk meningkatkan lagi prestasinya.

“Saya pun tidak memikir mengenai pecah rekod, tetapi mahu melakukan kerja (latihan) yang betul dan menyertai lebih banyak kejohanan pada masa akan datang,” katanya.

Media pada Selasa melaporkan catatan tersebut tidak dikira sebagai rekod dunia.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Mejar (B) Jasni Shaari memaklumkan bahawa persatuan sedia maklum sebarang rekod dunia dicipta di Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 tidak akan dikira.

Ini kerana katanya, kejohanan berkenaan tidak diiktiraf Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF).



Source link

OR

Scroll to Top