sukan@hmetro.com.my
Seremban: Penembak muda kebangsaan, Alia Husna Budruddin berharap dapat melepasi kelayakan ke Sukan Asia 2026 lebih awal ketika bersaing di Kejohanan Menembak Dunia 2026, di Sepanyol bermula 4 hingga 13 April ini.
Atlet berusia 23 tahun dari Negeri Sembilan itu menjelaskan untuk mendapatkan kelayakan itu dia perlu meletakkan diri dalam kelompok sekurang-kurangnya tempat ketiga terbaik Asia di kejohanan berprestij berkenaan.
“Ini kejohanan pertama yang menjadi landasan untuk layak ke Sukan Asia tahun ini. Memang ia bukan suatu tugas mudah sebaliknya satu cabaran perlu dilalui setiap atlet menembak dalam memburu tempat ke Sukan Asia 2026.
“Walaupun kejohanan dunia itu bukan pentas terakhir untuk mendapatkan kelayakan ke Sukan Asia, tapi saya mahu melepasi syarat itu lebih awal supaya boleh terus memberikan tumpuan kepada persiapan berikutnya sekali gus mengelak daripada berada dalam tekanan.
“Justeru, saya perlu melakukan persiapan lebih rapi dan berusaha memberikan aksi terbaik di Sepanyol nanti,” kata Alia Husna, hari ini.
Menurut atlet kelahiran Seremban itu, ini kejohanan luar negara pertama akan disertainya tahun ini dan kali kedua beraksi di pentas kejohanan dunia selepas kali pertama di Munich, Jerman pada 2024.
Dia yang akan membawa cabaran dalam acara 50 meter rifle tiga posisi dan 10m air rifle individu bertekad untuk memperagakan aksi terbaik dan membawa pulang pingat buat diri dan pasukan.
“Saya perlu tunjukkan prestasi yang lebih baik di Sepanyol dan mahu memanfaatkan peluang yang ada itu untuk berada dalam kedudukan selesa ke Sukan Asia.
“Saya optimis sasaran itu boleh dicapai apabila prestasi semasa meningkat selepas menerima bimbingan sempurna daripada jurulatih dari Korea.
“Malah dalam Kejohanan Menembak Terbuka Selangor di Subang, pada Januari lalu, saya berjaya meraih pencapaian peribadi yang memberangsangkan iaitu meraih pingat emas dalam acara air rifle dan perak acara 50 meter tiga posisi,” katanya.
Dalam pada itu, Alia berkata dia juga sedang membina kombinasi lebih mantap bersama gandingannya Nur Suryani Mohd Taibi dan Gan Chen Jie bagi acara berpasukan.
“Setakat ini, kami sudah berjaya membina kombinasi yang baik antara satu sama lain, namun saya rasakan perlu lebih mantap jika kami terpilih beraksi di pentas Sukan Asia nanti,” kata Alia yang juga pelajar Ijazah Sains Taman dan Rekreasi di Universiti Putra Malaysia.
Untuk rekod, Sukan Asia 2026 akan diadakan di Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd






