Aliff nafi dapat bonus lebih RM200,000

Aliff nafi dapat bonus lebih RM200,000



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mendedahkan dia tidak memperoleh bonus lumayan AS$50,000 (RM222,000) hasil kejayaan menundukkan lawan dari Russia, Shamil Adukhov di pentas ONE Championship, semalam.

Tetap bangga dengan kemenangan yang diperoleh dalam tempoh 70 saat ke atas Adukhov itu, Aliff menjelaskan dia tidak memperoleh bonus berkenaan kepada pihak media menerusi panggilan video, hari ini.

Dalam perlawanan ONE Fight Night 28 Catchweight di Bangkok, Thailand itu, atlet berusia 21 tahun berkenaan memperoleh kemenangan mudah apabila tumbukan tangan kanannya yang tepat ke muka Adukhov membuatkan lawannya itu terduduk.

Adukhov cuba bangkit tetapi gagal yang memberikan Aliff kemenangan ketujuhnya daripada sembilan pertarungan.

Ketika ditanya mengenai bonus yang diterimanya, atlet dari Rantau Panjang itu menjelaskan dia tidak menerima wang berkenaan malah tidak mengetahui dengan jelas mengapa penganjur berbuat demikian.

“Saya ingin maklumkan saya tidak memperoleh bonus bernilai lebih RM200,000 itu. Saya hanya dapat jumlah yang sudah dijanjikan oleh pihak penganjur sebelum ini iaitu sekitar RM40,000 hingga RM50,000.

“Saya tidak begitu pasti mengapa tidak memperoleh bonus itu tetapi mungkin ia disebabkan Adukhov bukan lawan yang saya dijadualkan berlawan pada awalnya,” kata Aliff.

Mengulas perlawanannya menentang Adukhov, Aliff mengakui yakin mampu mencatat kemenangan namun tidak menjangka ia boleh dicapai secepat itu.

“Ini kali pertama saya bertemunya tetapi saya memang sudah mengkaji corak pertarungan lawan dan tahu yang dia (Adukhov) tidak boleh tahan apabila menerima tumbukan tetapi mempunyai tendangan kaki yang bahaya.

“Sebelum perlawanan saya berlangsung, dua daripada tiga petinju negara sudah pun kalah jadi saya tahu saya perlu menang,” katanya.

Aliff dalam pada itu berharap kemenangan ke atas Adukhov memberinya peluang untuk memperoleh perlawanan merebut tali pinggang Catchweight daripada petinju Thailand, Prajanchai Saenchai.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top