am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasangan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri, 37 dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid, 39, membayar zakat perniagaan sebanyak RM1 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu majlis yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam.
Menerusi hantaran video di Instagram, Shahida berkata, tujuannya memuat naik video itu bukanlah untuk membanggakan diri sebaliknya menjadikan motivasi kepada orang ramai agar menjalankan kewajipan membayar zakat.
“Bukan niat nak riak atau bangga diri. Tetapi sesungguhnya ia bertujuan sebagai pemangkin atau memberi semangat kepada individu atau syarikat yang mempunyai lebihan pendapatan untuk sama sama memberi zakat buat mereka yang sangat sangat memerlukan.
“Ingat keberkatan setiap sen yang mengalir itu sangat mustahak. Jesteru, marilah menyumbang kepada Lembaga Zakat di atas setiap hasil keuntungan yang kita jana,” tulisnya.
Sementara itu, Aliff atau nama sebenarnya, Aliff Syukri Kamarzaman berkata, jumlah yang dibayar itu adalah hasil keuntungan daripada perniagaannya.
“Doakan supaya perniagaan saya semakin maju selepas ini. Bila maju, lebih banyak duit yang boleh saya berikan lagi untuk zakat perniagaan saya di masa hadapan,” tulisnya.
Selain Aliff Syukri dan isteri, pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal turut hadir di majlis itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd