Aliff cipta kemenangan sensasi di ONE Fight Night 28 pada Sabtu. Foto: ONE Championship
SELEPAS menumbangkan lawan di pentas ONE Championship pada Sabtu, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib digembar-gemburkan menerima bonus lumayan AS$50,000 (RM222,000).
Apatah lagi, kemenangan petarung Muay Thai berusia 21 tahun itu diperoleh menerusi kemenangan technical knockout (TKO) dalam tempoh 70 saat di pusingan pertama.
Dalam aksi ONE Fight Night 28 di Bangkok, Thailand, Aliff berada dalam kelas tersendiri apabila mudah menumbangkan Shamil Adukhov dari Dagestan, Rusia dalam kategori catchweight.
Namun, Aliff tampil menjelaskan situasi sebenar dan mengaku beliau hanya menerima wang kemenangan sekitar RM40,000 tidak termasuk bonus.
“Saya tidak memperoleh bonus bernilai lebih RM200,000 itu. Saya hanya dapat jumlah yang sudah dijanjikan oleh pihak penganjur sebelum ini iaitu sekitar RM40,000 hingga RM50,000.
“Saya tidak begitu pasti mengapa tidak memperoleh bonus itu tetapi mungkin ia disebabkan Shamil bukan lawan yang saya dijadualkan berlawan pada awalnya,” kata petarung muda dari Rantau Panjang, Kelantan itu.