Alina Hassan 'target' juara, tidak segan sertai uji bakat

Alina Hassan 'target' juara, tidak segan sertai uji bakat



norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi juga juara Sinaran Pasport Kegemilangan 1996, Alina Hassan, 57, berhasrat dapat mara menjadi peserta Top 12 dalam persaingan program realiti, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) di TV3.

Alina berkata, dia juga akan berusaha sedaya-upaya memberi persembahan terbaik untuk cuba memenangi hadiah wang tunai RM500,000 disediakan, sebuah kereta dan kontrak dengan syarikat rakaman selama dua tahun.

“Saya sebenarnya terkejut juga apabila berjaya menjadi antara peserta paling senior yang tersenarai dalam Top 100 CSOIAM untuk bersaing merebut tempat dengan barisan penyanyi baharu dan lebih muda.

“Ditambah lagi, memang kita lihat senarai peserta dalam Top 100 ini pun sudah didominasi golongan muda yang rata-rata seusia anak-anak saya. Tapi, tak apalah saya akan cuba berikan saingan.

“Sekali dah melangkah sejauh ini, kalau boleh saya tak mahulah sekadar sampai Top 100 saja. Saya ingin berjaya menempah slot 12 peserta terakhir dalam CSOIAM ini,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui semalam.

Menurut Alina lagi, dia ingin memastikan dirinya dapat bersaing selama lapan minggu dalam CSOIAM dan hingga kini juga tidak pernah mendabik dada sebagai juara Sinaran Pasport Kegemilangan yang dimenangi dulu.

“Walaupun seorang penyanyi lama, saya tetap ada harapan besar mahu dicapai dalam CSOIAM. Sekarang saya dah pun berjaya masuk ke dalam senarai peserta Top 100 dan kena usaha lagi.

“Bagaimanapun, sama ada saya berjaya atau terkeluar nanti, semua itu saya yakin dan percaya ada hikmah di sebaliknya. Saya juga tiada langsung perasaan segan untuk sertai program CSOIAM ini.

“Kalau nak rasa segan pun, apa yang saya ada? Sekadar nak rasa bangga dengan gelaran juara Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 yang saya pernah menang dulu? Tak perlulah. Saya hanya perlu jadi diri sendiri saja ketika menyanyi,” katanya.

Ditanya juga faktor mendorongnya menyertai sesi uji bakat CSOIAM, Alina berkata, dia mahu mencabar dirinya bersaing dengan penyanyi muda, selain tertarik kepada hadiah disediakan untuk pemenang.

“Saya tidak ada tujuan apa pun untuk sertai program CSOIAM ini. Tapi, sudah tentulah saya melihat kepada hadiah ditawarkan untuk pemenang. Sebab itu, saya kena masuk bertanding.

“Tapi, tujuan saya yang sebenarnya mahu cabar diri sendiri. Nak tengok juga, masihkah ada yang mahu mendengar suara ‘mak cik’ ini dan saya pun cuba. Alhamdulillah, berjaya dalam uji bakat itu,” katanya.

Menyorot sejarah karier nyanyian Alina sebelum ini, dia pernah merakamkan album berjudul Alina Hassan pada 1997 di bawah syarikat rakaman, Ambang Klasik Sdn Bhd (AKSB) yang memuatkan 10 lagu.

Terdahulu, program CSOIAM yang mula mencipta fenomena pada 2006 ini dikembalikan semula di TV3 selepas ‘menyepi’ penerbitannya selama 15 tahun dan akan mula disiar pada 22 Disember ini sehingga 9 Februari tahun depan, jam 9 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top