KUALA LUMPUR- Peningkatan aliran masuk pelaburan, kutipan cukai yang lebih baik berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan defisit fiskal lebih kecil merupakan pemangkin positif yang dijangka memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.0- 5.5 peratus pada 2024 dan 2025.
Ketua ahli ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) Dr Ray Choy berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan berada pada purata lebih RM300 bilion, peningkatan ketara berbanding sekitar RM200 bilion pada tempoh 2015 hingga 2019.
“Ini merupakan peningkatan besar pelaburan dari semasa ke semasa, dicerminkan menerusi lonjakan pertumbuhan KDNK dan peningkatan pembentukan modal tetap kasar, yang menunjukkan pembinaan kapasiti tambahan dalam ekonomi Malaysia,” katanya semasa acara MARC360 Reflections: Analisis Belanjawan 2025 Malaysia dan Perbahasan Pasca Belanjawan yang diadakan secara maya.
Choy berkata prospek pertumbuhan kitaran Malaysia kekal kukuh, disokong oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan yang agak tinggi dan keyakinan perniagaan yang bertambah baik.
“PMI Malaysia semakin bertambah baik. Ia bukan hanya sama ada PMI berada di bawah atau melebihi 50, tetapi kami melihat peningkatan kitaran sejak suku ketiga 2023.
“Peningkatan ini dicerminkan menerusi keyakinan perniagaan dalam perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit, serta dalam pembinaan dan industri,” katanya.
Pada Oktober 2024, PMI Pembuatan Malaysia S&P Global kekal tidak berubah pada 49.5, dengan pesanan baharu meningkat buat kali pertama sejak Jun 2024.
S&P Global sebelum ini melaporkan walaupun indeks itu berada hampir di ambang neutral 50.0, ia menunjukkan sedikit penurunan dalam keadaan perniagaan sepanjang bulan.
Choy berkata aliran semikonduktor global yang mencatatkan peningkatan, turut memberi manfaat kepada Malaysia.
Mengenai sasaran defisit fiskal, beliau berkata nisbah defisit fiskal berbanding KDNK menunjukkan peningkatan yang konsisten, dengan perbelanjaan kerajaan sebagai bahagian KDNK dijangka menurun berikutan pengurangan subsidi dan pengurusan berhemat perbelanjaan pembangunan.
“Malaysia semakin banyak menggunakan perkongsian awam-swasta untuk memacu pembangunan, menguruskan perbelanjaan pembangunan dengan berkesan walaupun dengan peruntukan yang sedikit berkurangan,” katanya.
Sementara itu mengenai ringgit, beliau berkata mata wang tempatan itu telah menunjukkan prestasi yang baik setakat ini manakala trajektori pertumbuhan KDNK Malaysia juga kukuh, tinggi sedikit daripada paras sebelum pandemik, yang menunjukkan aliran menggalakkan berbanding ekonomi lain.
Acara MARC360 Reflections: Analisis Belanjawan 2025 Malaysia dan Perbahasan Pasca Belanjawan yang diadakan itu merupakan penganjuran terbaharu daripada siri MARC360, menghimpunkan pakar, penggubal dasar dan pemegang taruh industri untuk membincangkan Belanjawan 2025 dan impaknya ke atas landskap ekonomi Malaysia.
Sesi itu menampilkan pembentangan dan pandangan daripada pakar dalam dasar ekonomi dan fiskal, termasuk Dr Nirwan Noh, Timbalan Setiausaha Bahagian (penyelidikan ekonomi) Bahagian Fiskal dan Ekonomi di Kementerian Kewangan, Christian de Guzman, penganalisis kanan di Moody’s Ratings dan Dr Carmelo Ferlito Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education. – BERNAMA
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL