KETIKA musibah menimpa atau kesulitan melanda, Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk kembali kepada Allah SWT dengan hati yang penuh keyakinan. Seluruh alam semesta ini adalah milik Allah, termasuk bumi yang kita pijak. Pada hari kiamat kelak, semua akan berada dalam genggaman-Nya. Maka, tanamkan dalam hati akan keagungan Allah SWT yang tiada bandingan.
Jangan sesekali meminta kepada selain Allah SWT, kerana Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Apa sahaja yang kamu perlukan, mintalah hanya kepada-Nya.
Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menunjukkan teladan dalam Perang Badar. Dengan hanya 313 orang sahabat melawan 1000 tentera Quraisy, secara logik mereka pasti kalah. Namun, Rasulullah SAW tetap yakin kepada kekuasaan pertolongan Allah SWT, Rabb sekalian alam. Beliau berdoa dengan penuh kerendahan hati dan yakin, hingga selendangnya jatuh berkali-kali. Inilah bukti, kebergantungan mutlak kepada Allah SWT mampu mengubah yang mustahil menjadi kenyataan.
Doa Rasulullah SAW saat Perang Badar yang berlaku di bulan Ramadan:
اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي، اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي
“Ya Allah, penuhilah janji-Mu kepadaku. Ya Allah, berilah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku”
Dalam doa ini, Rasulullah SAW memohon kepada Allah SWT untuk memenuhi janji-Nya, yaitu memberikan bantuan dan kemenangan untuk Islam. Tiada yang mustahil bagi Allah SWT, Allah Maha Mendengar dan memberikan kemenangan kepada tentera Islam dengan menurunkan Malaikat sebagai pertolongan, menanam rasa takut di hati musuh dan menguatkan hati tentera Islam.
Dan Rasulullah SAW juga berdoa, “Ya Allah, jika Engkau menghancurkan kelompok ini, Engkau tidak akan disembah lagi di bumi ini”.
Kita mesti yakin bahawa Allah SWT Maha Mendengar. Jangan di dahulukan sangka buruk terhadap Allah SWT. Inilah yang menyebabakan doakan kita tidak dikabulkan Allah SWT. Ingatlah, sedangkan Iblis, makhluk yang terlaknak berdoa, dan doanya Allah SWT kabulkan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Iblis berkata:” Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat).
Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.
Hingga ke hari – masa yang termaklum.’’ (Al-Hijr: 36-38)
Sentiasalah bersangka baik dengan Allah SWT. Jangan pernah rasa malu atau takut untuk berdoa, walaupun banyak dosa menghalang doa kita dikabulkan. Ingatlah, doa orang kafir yang dizalimi pun Allah SWT kabulkan. Jadi kenapa kita tidak mahu kembali kepada-Nya? Malas berdoa.
Lihatlah, ketika perang khandak, berulang kejadian, Rasulullah SAW dan 3000 sahabat dikepong 10000 tentera musuh. Dalam kesulitan itu, Rasulullah tetap berdoa dan bergantung sepenuhnya kepada AllaH SWT dan yakin Allah SWT Maha Mendengar.
Jadi ingatlah, sesiapa yang pernah meletakkan pergantungan kepada selain Allah SWT atau melakukan kesyirikan kepada Allah SWT, mohonlah sekarang keampunan Allah SWT kerana Allah SWT telah mengatakan dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Dia akan mengampunkan dosa selain syirik itu bagi orang yang dikehendaki-Nya. Sesiapa mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu, maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar” (An-Nisa’: 48)
Menurut ulamak Tafsir, ayat di atas bermaksud kepada orang yang mati dalam Syirik. Berkata Imam Ibnu Kathir; yakni; “Allah SWT tidak mengampunkan hamba yang bertemu-Nya dalam keadaan mensyirikkan-Nya.” Adapun orang yang semasa hayatnya pernah mensyirikkan Allah SWT, kemudian sebelum ia mati, ia telah menyedari dosa syiriknya, lalu memohon ampun kepada Allah SWT dan membuang segala perbuatan syirik dari dirinya, Insya Allah dosanya akan diampunkan Allah SWT. Ini sebagaimana yang dijanjikan Allah SWT melalui sabda Rasul-Nya;
“Sesungguhnya Allah akan menerima taubat seorang hamba selagi nyawanya belum sampai di halqum (yakni nyawanya berada di penghujung)”. (HR Imam at-Tirmizi. Kata at-Tirmizi; hadis ini hasan gharib)
Seperti orang kafir yang memeluk Islam dan mati dalam iman, keislamannya menghapuskan dosa-dosa silam. Begitu juga dengan orang yang bertaubat dari syirik, taubat dan tauhidnya memadamkan dosa-dosa lalu.
Namun, ada yang beranggapan setelah bertaubat, mereka bebas dari ujian. Ingatlah, apabila Allah SWT mencintai hamba-Nya, Dia akan mengujinya. Berbuat dosa sedikit, Allah beri peringatan dengan musibah, agar hamba itu sentiasa kembali kepada-Nya.
Sebaliknya, bagi yang Allah SWT biarkan, dosa mereka dihiasi dengan nikmat dunia. Nikmat itu ditambah dan ditambah sebagai istidraj, hingga mereka semakin jauh dari Allah SWT. Jangan tertipu dengan nikmat yang melalaikan!
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat pertolongan).” (Surah al-An’am, ayat 44)
Itulah yang dinamakan istidraj. Pemberian itu sebenarnya tidak diredai Allah SWT. Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh pelbagai nikmat dunia sama ada dalam bentuk kekayaan, kejayaan, pangkat, gelaran, pengiktirafan dan sanjungan.
Namun, semua nikmat itu tidak menjadikan mereka hamba yang bersyukur. Sebaliknya, mereka semakin jauh daripada Allah SWT, menyangka nikmat yang diberi adalah tanda Allah SWT meredai mereka. Ingatlah, setiap perbuatan akan dihisab di akhirat, tiada yang terlepas.
Golongan yang terpedaya dengan istidraj sering berkata angkuh, “Aku tak solat malah tak pergi berjemaah di Masjid, tapi tetap berjaya,” atau “Tanpa doa restu ibu bapa pun, aku dapat apa yang aku mahu.” Mereka lupa, nikmat itu bukan rahmat, tetapi ujian yang menghampiri kebinasaan. Semua contoh ungkapan itu adalah petanda ujian istidraj:
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat bahawa Allah SWT memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu menerima istidraj daripada Allah SWT.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Beberapa contoh doa-doa yang didengari Allah SWT
Doa Nabi Yakub AS
Nabi Yakub AS menghadapi ujian berat yang tidak pernah surut, namun hatinya tetap teguh bersangka baik kepada Allah SWT. Ketika kehilangan anak kesayangannya, Nabi Yusuf AS, beliau berkata, “Allah mengetahui, sedangkan aku tidak mengetahui di mana anakku berada.”
Bertahun-tahun menanggung rindu, musibahnya bertambah bukan berkurang, apabila Bunyamin, adik Nabi Yusuf, ditahan di Mesir atas tuduhan mencuri barang raja, diikuti anak sulungnya yang enggan pulang kerana rasa bersalah atas dosa silam terhadap ayahnya. Meskipun kesedihan yang mendalam menyelimuti jiwanya, Nabi Yakub tidak pernah meragukan hikmah Allah SWT di sebalik setiap ujian yang menimpanya:
“Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: “(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
”Dan (bapa mereka – Nabi Yakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.”
Mereka berkata: “Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa.” (Yusuf: 83 – 85)
Al-Quran surah Yusuf ayat 86 memuat jawaban Nabi Yakub atas perkataan anak-anaknya. Ayat ini kemudian menjadi petunjuk bagi seorang muslim, kepada siapa seharusnya mereka mengadukan keluh kesah atau kesedihan hati atas musibah yang menimpa mereka:
Dia (Yakub) menjawab, “Hanya kepada Allah SWT aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku. Dan aku mengetahui dari Allah SWT apa yang tidak kamu ketahui.” (Yusuf: 86)
Allah SWT mendengar doa Nabi Yakub dan mengembalikan Nabi Yusuf selepas 40 tahun dari kehilangannya. Di sepanjang itu, Nabi Yakub tak pernah berputus asa mengharap dan berprasangka baik kepada Allah SWT.
Dari Abu Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Allah SWT berfirman:
“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.” (Muttafaqun ‘alaih).
Berdasar pada surah Yusuf ayat 86 di atas, kita dapat belajar bahwa tempat mengadu terbaik adalah kepada Allah SWT bukan di MEDSOS (sosial media), sesungguhnya Dia Maha Mendengar. Namun, bukan bererti mengadu kepada manusia dilarang sama sekali. Selama tujuan pengaduan itu untuk meminta nasihat, mencari solusi, bermusywarah tanpa membuka aib diri sendiri atau orang lain tentunya boleh dilakukan. Sebab, Al-Qur’an juga mengajarkan manusia untuk bermusyawarah dan saling menasihati dalam hal kebaikan.
Nabi Yusuf AS
Nabi Yusuf AS adalah contoh keteguhan iman dan kekuatan jiwa. Dahulu, beliau adalah seorang anak yang dikhianati saudara sendiri, dibuang ke dalam perigi, dijual sebagai hamba, dan hidup sebatang kara di Mesir. Ujian demi ujian datang tanpa henti, termasuk godaan isteri majikannya, seorang wanita cantik dan berpengaruh.
Namun, saat diuji, Nabi Yusuf memilih lari kepada Allah SWT, menjauhkan diri dari terperangkap dengan dosa dan maksiat. Dengan izin dan penjagaan Allah SWT, beliau terselamat dari godaan itu:
Yusuf (merayu kehadrat Allah SWT dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” (Yusuf: 33)
Isteri majikannya, dalam usahanya membela diri, menjemput para Wanita Mesir ke rumahnya untuk menyaksikan ketampanan Nabi Yusuf dan untuk membuktikan kenapa dia tertarik kepadanya. Nabi Yusuf telah menolak memenuhi kemahuannya. Nabi Yusuf mengadu kepada Allah SWT seperti doa di atas:
firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).” (Yusuf: 53)
Akhirnya Nabi Yusuf diangkat menjadi seorang yang terhormat dan berkuasa di Mesir. Keimanan, kesabaran dan ketakwaannya menjadi kunci segala kejayaannya.
Allah SWT mengabulkan doa Nabi Yusuf AS, membuktikan bahawa Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui isi hati hamba-Nya. Walaupun Allah SWT sudah tahu segala keperluan kita, Dia tetap memerintahkan kita untuk berdoa sebagai tanda pengabdian dan kebergantungan kepada-Nya. Hanya dengan berdoa, rahmat dan pertolongan Allah akan datang kepada kita.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al Baqarah : 186)
Nabi Zakaria AS
Melihat Maryam yang beliau asuh, Nabi Zakaria sebenarnya berharap dapat mempunya anak yang dapat mewarisi kenabian. kebijaksanaan dan ilmunya, serta memberi petunjuk kepada kaumnya melalui wahyu yang diterima daripada Allah SWT. Beliau tidak pernah letih dan putus asa berdoa dan berharap kepada Allah SWT walapun usianya sudah menjangkau 100 tahun dan isterinya mandul:
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah, kepalaku telah dipenuhi uban, dan aku tidak pernah kecewa dalam berdoa kepada-Mu, wahai Tuhanku. Sesungguhnya aku khawatir terhadap keluargaku sepeninggalku, sedangkan isteriku adalah seorang yang mandul. Anugerahilah aku seorang anak dari sisi-Mu. (Seorang anak) yang akan mewarisi aku dan keluarga Yakub serta jadikanlah dia, wahai Tuhanku, seorang yang diredai.” (Maryam: 4-6)
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Ali-Imran: 38)
Apa yang terjadi? Allah SWT mengabulkan doanya dengan mengurniakan seorang anak bernama Yahya, nama yang diberikan langsung oleh-Nya. Puluhan tahun penantian itu terjawab dengan anugerah luar biasa. Ketika berdoa, tanamkan keyakinan bahawa Allah SWT memiliki kekuasaan mutlak atas seluruh alam ini. Tiada yang mustahil bagi-Nya. Apa yang kita sangka sukar, bagi Allah SWT hanya sepatah ‘Kun Fayakun’:
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi.”
Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.
(Al-Anbiya: 89-90)
Ada yang mungkin bertanya, “Itu semua doa para Nabi, bagaimana pula dengan kami yang bukan Nabi?” Ketahuilah, Allah SWT juga mendengar dan mengabulkan doa hamba-hamba-Nya yang lain, tidak kira siapa mereka. Jom kita telusuri kisah-kisah luar biasa tentang doa orang-orang biasa yang diangkat dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Bukti bahawa rahmat-Nya tidak terbatas hanya kepada Nabi, tetapi untuk semua hamba yang beriman dan berharap kepada-Nya.
Khaulah binti Tsa`labah
Khaulah binti Tsa‘labah, wanita yang aduannya didengar Allah SWT dari langit ketujuh, menghadapi situasi yang belum pernah terjadi dalam Islam. Suaminya, Aus bin Shamit, dalam kemarahan berkata, “Bagiku engkau seperti punggung ibuku,” yang dalam budaya saat itu bermaksud sesuatu yang terlarang. Ketika Aus ingin kembali kepadanya, Khaulah menolak dengan tegas, bersumpah tidak akan bersama hingga Allah dan Rasul-Nya memutuskan hukum.
Khaulah mendatangi Rasulullah SAW, mengadu dan memohon fatwa. Namun, Rasulullah mengatakan belum ada ketetapan atas permasalahan itu, sehingga Khaulah mengangkat tangannya ke langit, memohon keadilan kepada Allah yang Maha Mendengar. Dengan penuh keimanan dan kesabaran, dia terus berdoa hingga akhirnya wahyu turun kepada Rasulullah SAW. Ayat dari Surah Al-Mujadilah pun diabadikan sebagai jawapan atas pengaduannya, menjadi bukti kekuatan doa dan keikhlasan seorang hamba kepada Tuhannya:
“Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan Yang bersoal jawab denganmu (Wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara Yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”
“Orang-orang Yang “ziharkan” isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang Yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan Yang melahirkan mereka. dan Sesungguhnya mereka (dengan melakukan Yang demikian) memperkatakan suatu perkara Yang mungkar dan dusta. dan (ingatlah), Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”
“Dan orang-orang Yang “ziharkan” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa Yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadaNya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum Yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara Yang mungkar itu). dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa Yang kamu lakukan.”
“Kemudian, sesiapa Yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. akhirnya sesiapa Yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang Yang kafir disediakan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.” (al-Mujadalah:1-4)
Kemudian Rasulullah saw menjelaskan kepada Khaulah tentang kafarat (tebusan)Zhihar:
Nabi : Perintahkan kepadanya (suami Khaulah) untuk memerdekan seorang hamba.
Khaulah : Ya Rasulullah dia tidak memiliki seorang hamba yang boleh dia bebaskan.
Nabi : Jika demikian perintahkan kepadanya untuk puasa dua bulan berturut-turut
Khaulah : Demi Allah dia adalah lelaki yang tidak mampu melakukan puasa.
Nabi : Perintahkan kepadanya memberi makan dari kurma sebanyak 60 orang miskin
Khaulah : Demi Allah ya Rasulullah dia tidak memilikinya.
Nabi : Aku bantu dengan separuhnya
Khaulah : Aku bantu separuhnya yang lain wahai Rasulullah.
Nabi : Engkau benar dan baik maka pergilah dan sedekahkanlah kurma itu sebagai kafarat baginya, kemudian bergaulah dengan anak pakcikmu itu secara baik.” Maka Khaulah pun melaksanakannya.
Kisah Khaulah binti Tsa‘labah adalah contoh keteguhan iman dan keberanian seorang wanita dalam menuntut haknya. Doanya bahkan didengari Allah SWT dari langit ketujuh, menjadikan kisahnya penuh pelajaran berharga. Khaulah, yang pernah mengalami ujian berat, menunjukkan keberanian luar biasa di hadapan Amirul Mukminin, Umar al-Khatab.
Di suatu hari, ketika Umar sedang berjalan, Khaulah menghentikannya dan memberikan nasihat kepadanya. Dia mengingatkan Umar tentang tanggungjawabnya sebagai pemimpin, “Wahai Umar, aku mengenalimu sejak kecil, ketika namamu masih Umair dan engkau menggembala kambing di pasar Ukaz. Kini engkau sudah menjadi Amirul Mukminin dan Bernama Umar. Bertakwalah kepada Allah SWT, uruslah rakyatmu dengan adil, kerana sesiapa yang takut pada azab Allah SWT, yang jauh akan menjadi dekat dengan-Nya.”
Mendengar nasihat itu, Umar menundukkan kepalanya dan mendengarnya dengan penuh perhatian. Sahabat yang turut hadir pada waktu itu berkata, “Engkau banyak bercakap kepada Amirul Mukminin, wahai wanita!” Namun, Umar menegur sahabatnya, “Biarkan dia. Tahukah kamu siapa dia? Dia adalah Khaulah, yang doanya didengar dari langit ketujuh. Maka, Umar lebih berhak untuk mendengar perkataannya.” Bahkan, Umar menegaskan bahawa seandainya Khaulah tidak berhenti memberi nasihat hingga malam, beliau akan terus mendengarnya hingga selesai, kecuali jika waktu solat tiba, maka saya akan mengerjakan solat kemudian kembali untuk mendengarkan hingga keperluannya selesai.”
Saad bin Muaz RA
Saad bin Muaz RA, seorang sahabat Nabi SAW yang mulia, memeluk Islam melalui dakwah Mus‘ab bin Umair RA, utusan Nabi sebelum hijrah ke Madinah. Ketika Perang Khandak, Saad terkena panah dan mengalami luka parah. Dalam keadaan itu, beliau berdoa, “Ya Allah, jika masih ada perang melawan Quraisy, panjangkanlah umurku untuk berjihad melawan mereka yang menyakiti, mendustai, dan mengusir Rasul-Mu. Namun, jika tiada lagi perang, jadikan lukaku ini sebagai syahidku, dan jangan matikan aku sebelum Engkau menyejukkan pandanganku dengan kemenangan terhadap Bani Quraizah.”
Doanya dikabulkan. Kebijaksanaan Saad terserlah ketika Bani Quraizah memilihnya untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka setelah mereka mengkhianati perjanjian. Saad memutuskan hukuman yang adil: semua lelaki dewasa dihukum mati, wanita dan kanak-kanak dijadikan tawanan, dan harta mereka dirampas sebagai ganimah. Rasulullah SAW memuji keputusannya dengan bersabda, “Engkau telah menghukum mereka dengan hukum Allah dari atas tujuh lapisan langit.”
Saad wafat pada tahun kelima hijrah selepas peristiwa itu. Kematian beliau menjadi peristiwa besar, sehingga ‘Arasy bergegar kerana kepergiannya, seperti yang disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud:
“‘Arasy bergegar kerana kematian Saad bin Muaz.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Keperibadian Saad adalah contoh keteguhan iman, keberanian, dan kebijaksanaan yang tiada tanding.
Saad bin Abi Waqqas
Seorang sahabat yang doanya didengari Allah SWT. Dalam sebuah masjid, seorang lelaki bangun dan menyatakan sikapnya kepada Saad bin Abi Waqqas. Dikatakan namanya Abu Sa’dah. Katanya yang bermaksud:
” Adapun, bila kami ditanya mengenai masalah itu, maka kami katakan sesungguhnya Saad itu jenis yang tidak ikut serta dalam peperangan, tidak samarata dalam pembahagian dan tidak adil dalam penghakiman”.
Saad bin Abi Waqqas ketika mengetahui tuduhan tersebut, beliau berdoa dengan katanya yang bermaksud:
“Adapun demi Allah! Aku akan berdoa dengan tiga perkara:
Ya Allah, jika hambamu itu berbohong dan menimbulkan tuduhan itu hanya kerana riyak dan sum’ah maka:
1) Panjangkan umurnya
2) Panjangkan kefakirannya
3) Timpakan atasnya fitnah.
Hadis mengenai cerita ini ada dalam Sahih Bukhari dan Muslim (Muttafaq alaih) dan perawinya (Abdul Malik bin Umair yang meriwayatkan daripada Jabir bin Samrah) berkata bahawa dia menyaksikan sesudah itu lelaki itu hidup panjang umurnya sehingga dua keningnya jatuh sampai menutup pandangan matanya dan dia menjadi geladangan jalanan yang diejek oleh orang lalu lalang.
Ummu Salamah
Seorang sahabat mulia, awalnya hidup bahagia bersama suaminya, Abu Salamah dan mempunyai kisah cinta yang terpisah. Namun, ujian memisahkan mereka sekeluarga. Abu Salamah berhijrah ke Madinah, Ummu Salamah terpaksa tinggal di Mekah, sementara anak mereka, Salamah, diasuh oleh keluarga Abu Salamah. Walau terpisah, takdir akhirnya menyatukan mereka kembali di Madinah.
Setelah Abu Salamah wafat, Ummu Salamah teringat doa yang pernah diajarkan Nabi SAW kepada Abu Salamah, namun sebelum kematiannya, doa itu diajarkan oleh Abu Salamah kepada isterinya.:
“Sesungguhnya kami milik Allah SWT dan kepada-Nya kami kembali. Ya Allah, hitungkanlah musibah ini sebagai pahala di sisi-Mu, dan gantilah musibah ini dengan sesuatu yang lebih baik.” (Riwayat Abu Daud, no. 3119)
Namun, Ummu Salamah bertanya-tanya dalam hati, “Siapa yang lebih baik daripada Abu Salamah?” Dengan penuh keimanan, dia tetap membacakan doa tersebut dan didengari Allah SWT. Allah SWT mengabulkannya dengan mengurniakannya seorang pendamping yang tiada tandingan: Rasulullah SAW, manusia terbaik dan termulia di muka bumi.
Ternyata dari sebuah doa yang diucapkan itu sebagai satu kisah pertemuan jodoh di antara Rasulullah SAW dengan Ummu Salamah. Rasulullah SAW datang menemui Ummu Salamah untuk menyuntingnya. Lalu dijawab oleh Ummu Salamah,
“Ya Rasulullah! keadaanku akan membuatmu tidak menyukaiku. Aku ini seorang wanita yang sangat cemburu maka aku takut engkau mendapatkan dari diriku sesuatu yang kerananya Allah SWT akan mengazabku sementara aku sendiri sudah tua dan mempunyai banyak anak.”
Rasulullah S.A.W lalu menjawab yang bermaksud,
“Adapun kecemburuanmu yang engkau sebutkan, maka semoga Allah SWT menghilangkannya daripadamu. Dan usia tua yang engkau sebutkan, maka aku pun mengalami apa yang engkau alami. Dan keluarga yang engkau sebutkan itu, maka sesungguhnya keluargamu adalah keluargaku juga.”
Mendengar akan jawapan yang diberikan, Ummu Salamah akhirnya menerima lamaran tersebut. Dalam erti kata yang lain, di sebalik ujian atau musibah yang Allah SWT berikan kepada setiap hamba-hamba-Nya, ada nilai kasih sayang Allah SWT yang dibawa bersama.
Bermakna apa pun ujian mahupun musibah atau dengan erti kata lain kafarah yang Allah SWT berikan, bersama-samanya ada pengajaran dan kenikmatan. Bersama-samanya juga ada bahagia. Bahkan lebih dari itu bersama-samanya juga ada penghapusan dosa! Itu janji Allah SWT.
“Cobaan itu akan senantiasa bersama orang yang beriman baik laki-laki ataupun perempuan baik berkaitan dengan dirinya, anaknya ataupun hartanya sampai dia berjumpa dengan Allah SWT tanpa membawa dosa.” (Hadis riwayat Tarmizi)
Mengapa ada doa tidak dimakbulkan?
Tidak semua doa dimakbulkan Allah SWT, dan ada sebab-sebab tertentu yang menjadi penghalang. Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan kita untuk menjaga adab dan syarat-syarat doa. Berikut adalah beberapa penyebab doa ditolak:
1. Berburuk sangka kepada Allah SWT
Rasulullah SAW bersabda:
“Berdoalah kepada Allah dengan penuh keyakinan bahawa ia akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.” (HR At-Tirmizi)
2. Meminta sesuatu yang berdosa atau memutuskan silaturahim:
“Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah tanpa meminta sesuatu yang berdosa atau memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan tiga perkara: mengabulkan segera, menyimpannya untuk akhirat, atau menggantinya dengan kebaikan lain. Para sahabat bertanya: ‘Kalau begitu, kami akan memperbanyak doa.’ Nabi SAW menjawab: ‘Allah lebih banyak mengabulkan.’” (HR Ahmad)
3. Lalai dan tidak khusyuk ketika berdoa
Rasulullah SAW bersabda:
“Berdoalah kepada Allah dengan penuh keyakinan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa dari hati yang lalai dan sambil lewa.” (HR At-Tirmizi)
4. Makan, minum, dan berpakaian dari sumber yang haram
Rasulullah SAW bersabda:
“Bagaimana mungkin doa seseorang akan dikabulkan jika makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya haram?” (HR Muslim)
5. Tergesa-gesa mengharapkan doa dimakbulkan
Nabi SAW bersabda:
“Doa seseorang akan dikabulkan selagi dia tidak tergesa-gesa dan berkata, ‘Aku telah berdoa, tetapi belum dikabulkan.’” (HR Bukhari)
6. Menggunakan kata InsyaAllah dalam doa
Nabi SAW bersabda:
“Janganlah berkata, ‘Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mahu,’ tetapi bersungguh-sungguhlah dalam meminta kerana Allah tidak ada yang memaksa.” (HR Bukhari & Muslim)
Adab-Adab Berdoa
Agar doa lebih mudah diterima, amalkan adab-adab ini:
1. Memuji Allah SWT dan berselawat kepada Nabi SAW.
2. Mulakan dengan istighfar.
3. Lakukan sedekah dan solat sunat.
4. Berdoa dengan ikhlas, bersungguh-sungguh, dan penuh keyakinan.
5. Berwuduk dan menghadap kiblat.
6. Mengangkat tangan ketika berdoa.
7. Berdoa dengan rendah hati, khusyuk, dan penuh harapan.
Doa adalah hubungan langsung kita dengan Allah SWT. Peliharalah syarat dan adabnya, kerana Allah SWT itu Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan.
Penutup
Sentiasalah berbaik sangka kepada Allah SWT dan jangan berhenti berdoa kepada-Nya. Allah telah menjanjikan dalam firman-Nya bahawa sesiapa yang bertakwa akan mendapat pertolongan yang tidak disangka-sangka:
“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Surah Ath-Thalaq: 2-3)
Inilah janji Allah kepada hamba-Nya yang bertakwa. Jangan ragu untuk terus bergantung harap kepada-Nya.
Wallahu’alam
FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 24/1/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.