Allahyarham Ahmad Nawab seperti bapa saya sendiri – Ramlah Ram

Allahyarham Ahmad Nawab seperti bapa saya sendiri – Ramlah Ram


GOMBAK : Penyanyi, Ramlah Ram, 59, menyifatkan Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, umpama seorang bapa berikutan banyak membantunya sejak awal pembabitannya dalam industri seni.

Sukar membuang perasaan sedih, Ramlah berkata, pemergian Allahyarham memberi kesan kepadanya memandangkan arwah banyak menghasilkan lagu buatnya selain membantu mendidik dan menjaganya seperti anak sendiri.

“Allahyarham ibarat bapa saya. Dia yang menjaga saya sejak awal penglibatan dalam industri. Bila berada di sini (di kediaman Ahmad Nawab), segalanya seakan terimbas kembali memori lama kami.

“Saya rasa kehilangan yang sangat besar. Allahyarham seorang yang sangat bertanggungjawab. Semua tahu cara dia bekerja dan dia menjaga saya sebab sejak datang ke Kuala Lumpur, saya duduk berjauhan dengan keluarga.

“Saya rindu momen bersama arwah terutama semasa merakamkan album bersamanya. Orang cakap dia garang tetapi bagi saya dia seorang yang kelakar dalam tegas.

“Kami rapat macam keluarga. Malah kami juga berkongsi masalah antara kami,”katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di sini, malam tadi.

Selain itu, kata Ramlah, dia sangat terkilan tidak dapat menziarahi Allahyarham maestro terkemuka tersebut semasa mengetahui keadaan kesihatannya merosot.

“Saya tak tahu dia sakit sebab dia sangat privasi. Bila saya nak ziarah, dia tak izin. Saya hormati permintaanya waktu itu.

“Saya memang selalu teringat untuk berjumpa dengannya tetapi selalu tertangguh. Itu yang menyebabkan saya rasa menyesal dan terkilan sangat,”katanya.

Dalam pada itu, Ramlah juga mengakui, Allahyarham merupakan seorang komposer yang terunggul sehingga mampu menghasilkan karya-karya agung.

“Dia memiliki sentuhan tersendiri yang tak sama dengan orang lain. Semua lagu-lagunya membekas di hati saya. Bagi saya semua hasil karyanya ada jiwa.

“Arwah sudah menghasilkan berbelas album untuk saya tentunya itu menjadi memori terindah buat diri saya,”katanya.





Source link

OR

Scroll to Top