Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) meneruskan tradisi menghargai pengamal media apabila menganjurkan edisi ke-11 kejohanan tahunan Allianz Golf with Media 2025 di Saujana Golf and Country Club (SGCC) pada Selasa.
Kejohanan yang menjadi antara satu-satunya acara golf media yang masih bertahan itu terus mendapat sambutan meriah dengan penyertaan seramai 66 pemain terdiri daripada wakil media tempatan, pengurusan kanan serta warga kerja Allianz Malaysia.
Antara media yang mengambil bahagian termasuk Bernama, Berita Harian, Media Prima, Harian Metro, Oriental Daily, Nanyang Siang Pau, New Straits Times, Utusan Malaysia, Kosmo!, The Malaysian Reserve, Sin Chew, The Star, Astro, The Edge, Sinar Harian, RTM, TV3, Business Today, Golf Malaysia, MST Golf, Par Golf, Suara Merdeka, Sportswriters Association of Malaysia (SAM), Madani News, Cakap Sukan Online dan Al Jazeera.
Turut menyertai kejohanan Ahli Lembaga Pengarah Allianz Malaysia, Thomas Wong Kok Leong; Ketua Pegawai Kewangan, Giulio Slavich; serta Ketua Pegawai Operasi, Andrew Sim.
Giulio menegaskan, penganjuran kejohanan itu adalah bukti penghargaan Allianz Malaysia terhadap peranan media dalam menyampaikan maklumat tepat serta membina masyarakat yang berinformasi.
“Di Allianz Malaysia, kami amat menghargai kerja keras media dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan pantas. Dedikasi mereka memberi impak besar kepada komuniti.
“Setiap tahun, kami menantikan peluang ini untuk meraikan rakan-rakan media di padang golf bukan sahaja bermain bersama, tetapi juga mengeratkan hubungan dan berhibur,” katanya.
Dalam pertandingan tersebut, wakil Al Jazeera, Bayu Adhi Cahyono muncul juara individu dengan catatan 38 mata sekali gus membawa pulang satu set penuh kelab golf Wilson Prostaff SGI bernilai RM2,000.
Kategori berpasukan dimenangi gandingan Bayu bersama Sharif Omar (Media Mulia) dan Loo Keng Yip (Par Golf) dengan kutipan 110 mata keseluruhan.






