Mexico City: Fernando Alonso melakar sejarah tersendiri apabila bakal merekodkan perlumbaan ke-400 dalam saingan Grand Prix Mexico selepas 23 tahun bersaing dalam Formula One (F1).
Bekas juara dunia dua kali itu sememangnya antara legenda F1 yang paling mencuri tumpuan dengan meraih pelbagai pencapaian.
“Untuk sampai perlumbaan ke-400 bukan mudah dan ia jumlah yang cukup banyak,” kata pemandu pasukan Aston Martin.
Katanya lagi, dia mengakui puas mengabadikan diri dalam perlumbaan F1 yang baginya cukup mencabar dan penuh kejutan.
“Saya fikir tak ramai pemandu yang capai jumlah perlumbaan sebanyak ini. Ia menunjukkan saya sememangnya sayangkan sukan ini yang sduah sebati dengan diri saya.
“Saya memang gembira bergelar pemandu F1 dan banyak kenangan manis dan pahit dilalui sepanjang tempoh panjang ini,” katanya.
Untuk rekod, Alonso tampil buat pertama kali dalam saingan F1 pada musim 2001 dalam GP Australia dengan menyertai pasukan Minardi.
Potensinya terus berkembang dan muncul juara dunia pada 2005 dan 2006 ketika bersama pasukan Benetton yang dibimbing pengurus pasukan waktu itu, Flavio Briatore.
Daripada situ, Alonso terus menyinar dan jadi buruan dua pasukan handalan F1 dengan menyertai pasukan terbabit McLaren dan Ferrari.
© New Straits Times Press (M) Bhd