Madrid: Bekas pemain tengah Sepanyol, Xabi Alonso dijangka akan menjadi pengurus baharu Real Madrid dengan kontrak tiga tahun apabila beliau meninggalkan Bayer Leverkusen selepas musim ini, lapor media Sepanyol, hari ini.
Alonso, 43, dijangka menggantikan pengurus semasa Real, Carlo Ancelotti, yang sedang dipertimbangkan untuk jawatan pengurus Brazil menjelang Piala Dunia 2026, menurut sumber kepada Reuters.
Walaupun Ancelotti masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya, prestasi Real yang mengecewakan musim ini serta hasrat beliau untuk membimbing skuad Brazil membawa kepada persetujuan bersama untuk berpisah, kata sumber itu lagi.
Alonso, yang sebelum ini mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan Leverkusen selepas membimbing kelab itu merangkul kejuaraan berganda musim lalu, dijangka akan menyertai Real sebelum kejohanan sulung Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat dari 14 Jun hingga 14 Julai, menurut pelbagai laporan media.
Alonso, yang juga pernah beraksi bersama Liverpool dan Bayern Munich, mencipta sejarah musim lalu apabila membawa Leverkusen menjuarai Bundesliga buat kali pertama, sekali gus menamatkan dominasi 11 tahun Bayern.
Mereka turut menjuarai Piala Jerman dan Piala Super Jerman.
Berita mengenai kemungkinan pemergian Ancelotti bukan sesuatu yang mengejutkan selepas kekalahan 3-4 kepada Barcelona dalam perlawanan ‘El Clasico’ yang mendebarkan, semalam, sekali gus meletakkan Real tanpa memenangi trofi musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd