Amanah, iman dan solidariti umat

Amanah, iman dan solidariti umat


Dunia kini menyaksikan satu detik yang penuh getir dan mencengkam perasaan apabila misi Global Sumud Flotilla belayar merentas lautan Mediterranean untuk membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta harapan buat rakyat Gaza yang sekian lama berada di bawah kepungan haram rejim Zionis.

Ketika dalam suasana kesibukan mengurus kehidupan, masih ada sukarelawan dan aktivis kemanusiaan daripada pelbagai negara sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin yang ditindas sehingga ada yang berada dalam tahanan Israel. Kehadiran kapal ini bukan ancaman ketenteraan, tetapi simbol suara hati nurani yang menuntut kebebasan, keadilan dan penolakan terhadap kezaliman.

Isu Palestin hakikatnya bukan semata-mata krisis politik atau kemanusiaan, bahkan ujian keimanan umat Islam seluruh dunia untuk menguji kesetiaan terhadap Masjid al-Aqsa, tanah suci yang diberkati serta komitmen mempertahankan saudara seagama daripada kekejaman.

Gaza simbol ketabahan umat

Rejim Zionis terus menggempur Gaza dengan serangan tidak berperikemanusiaan. Angka korban yang mencecah puluhan ribu jiwa, majoritinya wanita dan kanak-kanak membuktikan betapa zalim serta rakusnya musuh Islam.

Rumah, sekolah, hospital bahkan masjid tidak terkecuali daripada menjadi sasaran. Rakyat Gaza dipaksa berdepan kelaparan, ketiadaan ubat-ubatan, kehilangan tempat tinggal dan trauma peperangan yang tiada noktah.

Kenyataan ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang yang tertindas daripada lelaki, perempuan serta kanak-kanak iaitu mereka yang selalu berdoa: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini yang penduduknya zalim dan jadikanlah bagi kami pemimpin yang membela kami”. (Surah an-Nisa ayat 75)

Ayat ini menegaskan membela golongan tertindas adalah kewajipan, bukan pilihan sampingan. Gaza hari ini adalah gambaran nyata kepada ayat berkenaan.

Misi Global Sumud Flotilla solidariti tanpa sempadan

Lebih 44 negara bersatu dalam Misi Global Sumud Flotilla. Penyertaan sukarelawan daripada pelbagai bangsa dan agama membuktikan Palestin bukan isu lokal, tetapi isu sejagat yang mampu menyatukan manusia atas dasar kemanusiaan, keadilan dan kebenaran.

Umat Islam di Malaysia turut menunjukkan solidariti dengan pelbagai cara antaranya ada yang menyertai misi secara langsung, ada yang menghantar sumbangan dana dan ada yang berdoa tanpa henti. Semua usaha ini walaupun kecil, tetap dihitung sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Perumpamaan orang beriman dalam kasih sayang, belas kasihan dan simpati antara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota berasa sakit, seluruh tubuh turut berasakannya dengan berjaga malam dan demam”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengingatkan penderitaan Gaza adalah penderitaan umat Islam seluruh dunia. Diam membisu ertinya membiarkan tubuh sendiri terus sakit tanpa rawatan.

Palestin adalah isu akidah dan amanah iman

Palestin bukan sekadar tanah yang dijajah, bahkan bumi anbia, tempat terletaknya Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam. Membela Palestin bermaksud mempertahankan maruah Islam dan amanah iman.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang Mukmin itu beriman sehingga dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menegaskan solidariti terhadap Palestin adalah lambang keimanan. Meninggalkan rakyat Palestin dalam penderitaan bererti meninggalkan sebahagian daripada tanggungjawab agama.

Langkah dan tanggungjawab umat Islam

Terdapat empat perkara yang wajar dijadikan kompas dan panduan dalam menyokong rakyat Palestin.

Pertama, menyatakan solidariti secara jelas. Masyarakat Muslim mesti menzahirkan pendirian menentang kezaliman Zionis. Sikap berdiam diri hanya menguntungkan pihak penindas.

Kedua, menyokong usaha kerajaan dan NGO. Segala inisiatif diplomasi, bantuan kemanusiaan dan advokasi antarabangsa perlu didukung penuh termasuk memastikan keselamatan sukarelawan flotila.

Ketiga, menghulur sumbangan mengikut kemampuan. Sama ada wang, tenaga, doa atau media sosial yang semua itu adalah senjata untuk membantu. Sedikit daripada setiap individu mampu menjadi ombak besar yang menggoncang keangkuhan musuh.

Keempat, mendidik generasi muda. Palestin mesti ditanam dalam jiwa generasi baharu sebagai sebahagian daripada sejarah, akidah dan perjuangan umat Islam. Kesedaran ini memastikan kesinambungan perjuangan sehingga hari kiamat. Demikianlah, tragedi Gaza adalah cermin iman umat Islam sejagat yang menguji sejauh mana kesatuan, kepedulian dan keberanian menegakkan kebenaran. Flotila yang belayar bukan sekadar membawa bekalan, tetapi simbol bahawa nurani manusia masih hidup dan menolak kezaliman.

Doa umat Islam wajib tidak putus supaya Allah SWT memberi kemenangan kepada penduduk Gaza, melindungi sukarelawan serta menghancurkan keangkuhan Zionis.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu berasa lemah dan janganlah kamu bersedih hati kerana kamu adalah orang yang paling tinggi kedudukannya, jika kamu orang yang beriman”. (Surah ali Imran ayat 139)

Kemenangan itu pasti milik orang yang beriman. Tugas umat Islam ialah terus bersatu, berdoa, menyumbang dan mendidik generasi nilai perjuangan. Palestin bukan isu jauh di mata, tetapi sebahagian daripada maruah iman.

Pertolongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin adalah bukti cinta kepada Allah SWT, Nabi SAW dan Masjid al-Aqsa yang diberkati.

Penulis Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top