am@hmetro.com.my
Tawau: Seorang duda dipenjara lapan tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap menantu perempuannya, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu selepas mempertimbangkan hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung faktor mitigasi serta pemberatan hukuman.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh dipenjara mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Selain itu, tertuduh juga diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 27 akta yang sama.
Terdahulu, peguam Mohd Ridwan Usman memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh berusia 52 tahun yang pernah diserang sakit jantung dan mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin memohon hukuman maksimum dikenakan atas alasan kesalahan seksual semakin membimbangkan serta memerlukan hukuman yang memberi kesan pencegahan kepada masyarakat.
Beliau turut berhujah tertuduh mengkhianati kepercayaan mangsa memandangkan dia sepatutnya berperanan melindungi menantunya.
Mengikut pertuduhan, bekas mekanik itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Kuala Merotai di sini, pada Disember 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2 Julai 2024 lapan saksi pendakwaan manakala lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






