Amar (kanan) ketika mewakili skuad Bunga Raya dalam Kejuaraan 7s Asia B-18 di Hohhut, China. Foto Kesatuan Ragbi Malaysia
PELAJAR Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Amar Syamim Nor Herman berazam meninggalkan impak pada penampilan sulung bersama skuad senior Bunga Raya Tujuh Sebelah (7s) dalam Siri 2 Kejohanan Ragbi Asia 2025 di Stadium Racecourse, Colombo, Sri Lanka.
Berusia 18 tahun, Amar menjadi pemain termuda dalam pasukan bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Man. Sebagai rekod, Bunga Raya 7s menamatkan cabaran Siri 1 di Hangzhou, China bulan lalu di tempat keenam selepas tewas 17-26 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi penentuan kelima dan keenam.
Amar mengakui cabaran utama menjelang debutnya ialah menyesuaikan diri dengan tempo dan intensiti permainan yang lebih pantas serta fizikal, namun menganggapnya peluang terbaik untuk menguji kemampuan diri.
“Sebagai pemain termuda, saya perlu cepat menyesuaikan diri dan kekal fokus sepanjang permainan.
“Ia pengalaman berharga untuk saya buktikan kemampuan di tahap lebih tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar.
Bagi memastikan persiapan rapi, Amar menjalani latihan tambahan bagi meningkatkan kecergasan selain menimba tunjuk ajar daripada pemain senior mengenai pengurusan tekanan dan taktikal permainan.
Pada Ogos lalu, Amar mencuri tumpuan apabila membantu Malaysia muncul juara Kejohanan Ragbi 7s Sekolah-Sekolah Asia di Hong Kong.
Lebih manis, Amar turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan mengatasi pemain-pemain dari Hong Kong, Kazakhstan, China, singapura dan Thailand.
Ringkasan AI
- PELAJAR Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Amar Syamim Nor Herman berazam meninggalkan impak pada penampilan sulung bersama skuad senior Bunga Raya Tujuh Sebelah dalam Siri 2 Kejohanan Ragbi Asia 2025 di Sri Lanka
- Berusia 18 tahun, Amar menjadi pemain termuda dalam pasukan
- Amar menganggap debutnya sebagai peluang terbaik untuk menguji kemampuan diri dengan permainan yang lebih pantas dan fizikal
- Amar menjalani latihan tambahan dan menimba tunjuk ajar daripada pemain senior untuk persiapan yang rapi
- Amar membantu Malaysia muncul juara Kejohanan Ragbi 7s Sekolah-Sekolah Asia dan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai