aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Amarjit Singh mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai presiden baharu Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menewaskan pencabarnya, Yunus Ibrahim dan pemangku presiden Mazlan Ab Jail dalam Mesyuarat Agung Khas (Pemilihan Presiden) bagi penggal 2023-2026.
Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengalahkan Yunus 35-23.
Manakala Mazlan tidak menerima sebarang undi dengan Persatuan Berbasikal Terengganu juga tidak menghantar perwakilan bagi menghadiri Mesyuarat Agung Khas (Pemilihan Presiden) dengan dua undi disahkan rosak.
Kejayaan Amarjit itu menyaksikan dia mengulangi pencapaian dilakukan bapanya, Tan Sri Darshan Singh.
Darshan pernah menjawat tugas selaku Presiden PKBM daripada 1988 ke 1990 selepas melakukan kejutan terbesar menewaskan Tan Sri Elyas Omar yang pada ketika itu adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pemilihan yang diadakan di sebuah hotel turut disulami kontroversi apabila Mazlan menghantar surat pembatalan mesyuarat yang dianggap bertentangan dengan Perlembagaan PKBM kepada semua negeri ahli gabungan.
Bagaimanapun, mesyuarat diteruskan selepas EXCO PKBM sebulat suara bersetuju bahawa mesyuarat itu mematuhi peraturan perlembagaan PKBM dan wajar diteruskan.
Sementara itu Amarjit menegaskan tugas terbesarnya ialah mengekalkan suasana harmoni di kalangan Ahli Exco dan Ahli Majlis serta ahli gabungan PKBM dan memperkasakan hubungan antara PKBM, KBS dan MSN.
“Keharmonian akan menjadi keutamaan terbesar saya kerana suasana harmoni sangat penting kepada saya dan semua Ahli Exco, Ahli Majlis dan ahli gabungan negeri.
“Saya juga akan menulis surat KBS bagi mengembalikan bantuan kewangan kepada PKBM khususnya untuk acara lebuhraya menjelang Sukan Sea 2025 di Thailand,” katanya.
Amarjit adalah seorang personaliti sukan yang sangat popular dalam kancah sukan berbasikal antarabangsa apabila terpilih sebagai Ahli Mesyuarat Eksekutif UCI dan Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) sejak 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd