PEMERHATI sukan tempatan, Datuk Eric See-To menggesa kerajaan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik serta berani bagi menyelamatkan masa depan Liga Malaysia (Liga-M).
Menurut Eric, krisis kewangan yang melanda beberapa pasukan telah menjejaskan pembayaran gaji kepada pemain dan kejurulatihan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kesinambungan saingan musim depan.
“Bola sepak bukan sekadar sukan, ia adalah sebahagian daripada identiti dan maruah negara. Jika kita terus membiarkannya hanyut, bukan sahaja liga akan mati, malah impian untuk melihat Malaysia kembali disegani di peringkat antarabangsa juga akan terkubur,” katanya.
Kebimbangan itu timbul susulan pengumuman mengejutkan Perak FC yang menarik diri daripada Liga Super musim 2025/26, manakala status Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) juga masih mencetuskan tanda tanya.
Sehubungan itu, Eric mencadangkan kerajaan dan FAM menyediakan geran asas tahunan sekitar RM5 juta hingga RM10 juta kepada setiap kelab profesional, sebagai sokongan kewangan berstruktur untuk kelangsungan operasi.
“Jika terdapat 13 kelab, nilai keseluruhan geran yang diperlukan hanyalah antara RM65 juta hingga RM130 juta setahun.
“Namun, bantuan ini perlu disalurkan bersyarat – hanya kepada kelab yang lulus audit kewangan, memiliki akademi pembangunan belia yang aktif dan pengurusan profesional,” ujarnya.
Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan Tabung Pembangunan Bola Sepak Nasional dengan kerjasama kerajaan dan sektor swasta.
“Dana ini boleh diurus secara profesional oleh institusi seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Pulangan tahunannya boleh diagihkan semula kepada Liga-M atau kelab untuk menampung kos operasi dan pembangunan bola sepak negara secara strategik,” katanya.
Eric turut menggesa FAM agar memperkenalkan siling gaji dan peraturan Financial Fair Play bagi memastikan kelab berbelanja secara berhemah.
“Jika gagal patuh, potong mata dan kenakan denda. Hanya dengan ketegasan seperti ini liga kita akan lebih adil dan kompetitif,” katanya.
Beliau juga mencadangkan beberapa penambahbaikan seperti menilai semula kuota pemain import, meningkatkan mutu pengadilan serta memperbaiki jadual perlawanan agar lebih teratur dan adil kepada semua pasukan.
Dalam masa sama, pengalaman hari perlawanan juga perlu ditambah baik bagi menarik semula minat penyokong ke stadium.
“Perlu ada pakej lengkap – harga tiket mampu milik, aktiviti komuniti dan suasana mesra keluarga. Ini akan bantu hidupkan semula semangat bola sepak tempatan,” katanya.