JEMAAH haji diingatkan supaya memanfaatkan sebaik mungkin tempoh keberadaan mereka di Madinah dengan mengikuti program ibadat dan ziarah yang disusun khas oleh Tabung Haji (TH).
Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir bin Hussin@Yusof berkata, selain mengerjakan solat lima waktu di Masjid Nabawi, jemaah juga perlu mengambil iktibar daripada lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang penuh nilai pengajaran.
“Tempoh berada di Madinah tidak lama. Sangat rugi kalau jemaah leka atau kurang beri perhatian kepada peluang berharga ini, terutama solat berjemaah di Masjid Nabawi dan memahami sejarah perjuangan Rasulullah SAW,” katanya.
MOHAMMAD ZAHIR
Beliau berkata, antara program ibadat yang dirancang termasuklah ziarah dalam sekitar Masjid Nabawi seperti ke makam Rasulullah SAW, Masjid Al-Ghamamah serta perkuburan Al-Baqi’ yang menempatkan sahabat-sahabat besar Baginda.
Katanya, melalui program ini, jemaah bukan sahaja dapat menziarahi, malah berpeluang mendapatkan info dan penerangan berkenaan tempat bersejarah daripada pembimbing ibadat yang bertugas.
“Selain ziarah dalam Madinah, ada juga ziarah luar yang membawa jemaah ke lokasi bersejarah di sekitar Madinah seperti Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan kawasan Perkuburan Syuhada Uhud,” ujarnya.
Beliau berkata, seramai 10 orang pembimbing ibadat haji Tabung Haji ditugaskan di zon Madinah untuk membantu dan memandu jemaah sepanjang program berlangsung.
“Menariknya, dalam program ziarah luar, pelajar-pelajar universiti tempatan juga akan membantu membawa jemaah haji sambil memberikan penerangan berkaitan tempat-tempat yang dilewati,” tambahnya.

MASJID Quba antara lokasi ziarah luar yang akan dikunjungi jemaah haji.
Mohamad Zahir menegaskan, program ibadat dan ziarah ini penting untuk menanamkan penghayatan dan keinsafan terhadap perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat dalam membawa risalah dakwah.
“Saya harap jemaah hayati sirah perjuangan ini. Jangan sekadar datang untuk bergambar semata-mata, tetapi ambillah pengajaran yang boleh menambah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan semua jemaah haji supaya menghadiri taklimat dan ceramah yang dianjurkan oleh pihak Tabung Haji bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai masa, lokasi dan peraturan program.

PROGRAM ibadat dan ziarah ini penting untuk menanamkan penghayatan dan keinsafan terhadap perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat dalam membawa risalah dakwah.
“Selain taklimat secara fizikal, jemaah juga akan menerima maklumat terkini melalui aplikasi WhatsApp yang dikendalikan oleh pihak Tabung Haji. Jadi, sentiasalah peka dengan segala pengumuman sepanjang berada di Madinah,” katanya.