Amer Harris bakal buat kemunculan dalam perlumbaan PCCA 2025

Amer Harris bakal buat kemunculan dalam perlumbaan PCCA 2025



lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba kereta berbakat negara, Amer Harris Jefry bakal membuat kemunculan dalam perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) 2025.

   Dia turut mencatat sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama yang mendapat tempat dalam Porsche Carrera Cup Asia Talent Pool dan akan bersaing menggunakan jentera Porsche 911 GT3 Cup di bawah pasukan ZSpeed Motorsport.

  Menurutnya, ini adalah satu penghormatan besar untuknya berada di bawah jenama terbaik dunia dalam sukan permotoran khasnya kategori GT3.

  “Selepas menjuarai perlumbaan Hyundai N Cup di Zhuhai Oktober tahun lalu saya ditawarkan untuk mengikuti pemilihan Porsche Carrera Cup Asia Talent Pool tahun ini dan keputusan ujian selama dua hari itu amat memberangsangkan serta mendapat pujian daripada pihak PCCA,” katanya.

  Amer Harris sebelum ini pernah mencatat masa terpantas di Litar Antarabangsa Sepang dengan beberapa jentera berprestasi tinggi seperti BMW E92 M3, Toyota GR Yaris, Audi RS3, Nissan GTR R35, dan Toyota GR Supra.

  Perjalanan kerjayanya semakin menyerlah apabila menyertai pasukan Wing Hin Motorsport untuk bersaing dalam perlumbaan Thailand Super Series 2024 dengan jentera Toyota.

  Kejayaannya di Zuhai tahun lalu itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan tahniah dalam laman sosial Facebook rasminya.

  Pusingan pertama PCCA 2025 akan berlangsung di Shanghai China (21 hingga 23 Mac), diikuti Motegi Jepun, Bangsean Thailand, Mandalika Indonesia, Sepang Malaysia dan Singapura.

  Terdapat dua pusingan yang bakal menjadi perlumbaan sokongan kepada perlumbaan Formula One iaitu di China dan Singapura.

 

 

Keterangan gambar:

Amer Harris Jefry bakal beraksi di Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) 2025.

 

 

TAMAT.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top