Amer mahu tawan Litar Sepang

Amer mahu tawan Litar Sepang


Amer (depan) bersama Hannah (kanan) dan Gurdip pada majlis menandatangani perjanjian sebagai rakan jenama CIMB di Kuala Lumpur. – Foto: Bernama.

PELUMBA sedang meningkat naik, Amer Harris Jefry bertekad untuk mencipta kejutan di Litar Antarabangsa Sepang yang bakal menjadi venue bagi kempen Porsche Carrera Cup Asia 2025 bulan depan.

Beliau optimis untuk melakukan sesuatu dalam saingan bermula 6 hingga 8 Jun itu memandangkan sudah sering beraksi di litar kebanggaan negara tersebut.

Namun begitu, beliau sedar saingan yang bakal ditempuhi terutama daripada pemandu dan pasukan yang lebih berpengalaman ke kejuaraan berprestij berkenaan.

“Saya sudah mempunyai tempoh pemanduan yang baik di sana dan untuk itu, saya patut menang di Sepang nanti.

“Saingan pasti sengit daripada pemandu yang banyak pengalaman dalam Carerra… tujuh atau lapan tahun dalam kejuaraan namun, kelebihan saya adalah trek ini sendiri,” ujar pelumba pasukan Z Speed Motorsport itu.

Amer ditemui media selepas majlis menandatangani perjanjian sebagai rakan jenama CIMB Group Holdings Berhad.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu.

Menerusi kerjasama baharu selama dua tahun itu Amer kini menyertai barisan elit yang terdiri daripada ikon sukan kebangsaan di bawah naungan CIMB termasuk jaguh Olimpik dan pelumba basikal trek profesional Datuk Azizulhasni Awang; pemain skuasy kebangsaan S Sivasangari dan pemain golf profesional Ervin Chang.

Selepas dua pusingan di Litar Antarabangsa Shanghai dan Motegi, Amer kini berada di kedudukan keempat dalam carta kejuaraan.

“Pusingan pertama di Shanghai, kami meraih tempat ketiga untuk Perlumbaan 1 dan kelima bagi Perlumbaan 2. Di Motegi, tuah tidak memihak kepada saya apabila berdepan kemalangan di kedua-dua perlumbaan sebelum menamatkan saingan di tempat keenam.

“Sudah tentu saya ingin muncul juara keseluruhan. Tampak sukar, tetapi saya akan cuba sebaik mungkin,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top