Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei geram dan kecewa terhadap layanan tidak adil Amerika Syarikat. – Foto: Agensi
IRAN mendakwa mereka berdepan layanan tidak adil di Piala Dunia selepas gangguan perjalanan saat akhir akibat ketegangan Iran–Amerika Syarikat (AS) menjejaskan persiapan pasukan sehingga memberi kesan kepada prestasi mereka ketika seri 2-2 dengan New Zealand.
Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei berkata persiapan pasukan turut terganggu apabila lokasi kem latihan terpaksa diubah pada saat akhir dari Arizona ke Mexico susulan ketidaktentuan berkaitan visa AS.
Menurutnya, pasukan itu turut berdepan gangguan lain apabila dijangka bermalam di Los Angeles untuk pemulihan, namun diarahkan kembali ke Mexico tanpa penjelasan lanjut.
“Saya fikir kamilah pasukan yang paling ditindas di Piala Dunia,” kata Ghalenoei.
Tambahnya, beliau tidak mengetahui sebab sebenar sekatan atau arahan tersebut, namun menyifatkan situasi berkenaan sebagai tidak adil kepada pasukannya.
Katanya, gangguan logistik itu memberi kesan kepada persiapan dan pemulihan pemain menjelang perlawanan penting di kejohanan berkenaan.
Dalam masa sama, beberapa pemain dilaporkan berdepan keletihan dan kekejangan otot akibat jadual perjalanan yang padat, sekali gus menjejaskan tahap kecergasan pasukan.






