Aminuddin nafi campur tangan, batalkan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan

Aminuddin nafi campur tangan, batalkan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan


am@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan campur tangan dalam isu pembatalan ceramah agama Ustaz Wadi Annuar yang bakal berlangsung di Masjid Sri Sendayan, di sini, Sabtu ini.

Beliau berkata pihaknya tidak terbabit dan tidak mempunyai maklumat berkaitan program ceramah agama Healing De’ Masjid oleh penceramah bebas terkenal berkenaan.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu, malah tidak tahu program agama yang dianjurkan setiap masjid serta penceramah yang dijemput.

“Perkara itu antara dia dengan pihak masjid. Apabila saya baca mengenai pembatalan ceramah, saya sendiri pun terperanjat.

“Saya harap mereka yang rasa teraniaya perlu beri penjelasan sejelas-jelasnya, jangan sampai menimbulkan fitnah kepada pihak lain, khususnya kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ustaz Wadi Annuar menerusi satu video di media sosial mendedahkan pembatalan ceramah beliau yang bakal berlangsung 6 September itu.

Menurut penceramah berkenaan, persiapan program terbabit sudah diatur rapi oleh pihak terbabit termasuk pengurusan Masjid Sri Sendayan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), selain mendakwa sudah mendapat surat tauliah daripada pihak MAINS.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, dalam satu kenyataan menyifatkan pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan sebagai mengecewakan dan mengejutkan.

Mengulas lanjut, Aminuddin turut menyatakan kekesalannya terhadap kenyataan Mohamad Hanifah yang cuba menuding jari kepada kerajaan negeri dalam isu pembatalan ceramah terbabit.

“Saya tidak tahu pun ada ceramah di Masjid Sendayan dan siapa penceramahnya. Tiba-tiba keluar kenyataan seolah-olah saya yang tidak benarkan.

“Orang akan tanya, kenapa saya terasa? Tetapi bila orang tulis begitu, takkan saya tidak terasa. Ucapan itu pun tidak jelas. Kita ini sebagai orang beragama, bila berkata-kata biarlah jelas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top