KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pencipta lagu, Amir Masdi, 29, mengakui dia cukup teliti sebelum menyerahkan lagu yang dihasilkannya kepada penyanyi lain.
Kata Amir, hal tersebut kerana dia mahu lagu yang diberikan itu tidak sekadar dinyanyikan, malah ‘hidup’ dan meninggalkan impak.
“Sebab itu penting bagi saya memilih penyanyi yang sesuai untuk menyanyikan lagu ciptaan saya.
“Saya tak mahulah asal buat dan serahkan kepada penyanyi begitu sahaja.
“Sekurang-kurangnya, biarlah lagu itu, apabila dinyanyikan penyanyi berkenaan, hidup dan meninggalkan kesan kepada pendengar,” katanya yang ditemui pada sidang media TVS Spotlight 2025/2026 di Sheraton Petaling Jaya, baru-baru ini.
Amir sebelum ini pernah tampil dengan lagu ciptaannya sendiri seperti Calar, Langit Biru, Nur Cinta, Bakal Kekasih, Luar Kotak, Debu (duet bersama Dayang Nurfaizah) dan banyak lagi.
Kata Amir atau Amir Syazwan Masdi, sebagai komposer, dia akan menilai karakter sebelum menyerahkan lagu ciptaannya kepada mana-mana penyanyi.
“Vokal kita boleh latih dan bentuk dalam studio rakaman. Tetapi karakter penyanyi memang kena sesuai, barulah lagu itu ‘hidup’.
“Saya tak kisah jumlah pengikut penyanyi itu di media sosial, populariti bukan ukuran.
“Saya mahu lihat sejauh mana penyanyi itu boleh ‘kahwin’ dengan lagu saya. Itu yang saya utamakan.
“Yang penting keserasian antara penyanyi dan lagu. Menjadi bonus kalau lagu itu meledak,” kongsinya. – UTUSAN