AMK sasar tanding tiga kerusi di Perlis, optimis tarik sokongan pengundi muda

AMK sasar tanding tiga kerusi di Perlis, optimis tarik sokongan pengundi muda


KANGAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri sasar mengenengahkan calon dari sayap itu di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketuanya, Ahmad Azzin Izzad Bahanudin berkata, ketiga-tiga kerusi DUN yang berpotensi ditandingi itu di Mata Ayer, Chuping dan Sena.

Menurutnya, ketiga-tiga kerusi itu dilihat berpeluang dimenangi berdasarkan kepada kerjasama terjalin antara Angkatan Muda Harapan (AMH) bersama Pemuda UMNO di negeri ini.

“Kita lihat macam kawasan Sena, kerusi itu memang telah dimenangi calon PKR pada PRU14 lalu. Malah kawasan Mata Ayer dan Chuping juga sangat berpotensi besar dimenangi calon PKR jika kita hadir sebagai kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Media Perlis di sini, hari ini.

Ahmad Azzin berkata, pihaknya juga optimis sokongan pengundi muda pada PRU16 akan lebih kukuh bersama Pakatan Harapan khususnya menerusi beberapa inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan kini telah berjaya membawa satu perubahan, walaupun benda itu belum sempurna dan ada kepincangan, tapi anak muda sudah nampak perubahan itu. Di Perlis khasnya, AMK juga telah rangka beberapa perkara contohnya dengan mendekati pelajar tingkaran enam yang bakal menjadi pengundi muda kelak,” katanya.

Tambahnya, AMK negeri turut melaksanakan beberapa usaha lain dalam menarik sokongan pengundi muda termasuk dengan memberi pendedahan maklumat mengenai inisiatif-inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan menerusi laman sosial dan pelbagai lagi

“Kita juga turun ke bawah bagi mendekati golongan ini meliputi pelbagai segmen antaranya seperti sukan, permotoran dan pelbagai lagi,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top