PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim tampil mempertahankan sistem permainannya yang sering dipertikai selepas menerima kritikan daripada beberapa bekas bintang ternama kelab itu.
United mengalami permulaan sukar musim ini apabila tewas empat daripada tujuh perlawanan dalam semua kejohanan, sekali gus menduduki tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris serta tersingkir daripada saingan Piala Liga.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab, Wayne Rooney mengakui beliau langsung ‘tidak yakin’ Amorim mampu mengubah keadaan, bekas kapten Gary Neville pula melahirkan rasa ‘bimbang’, manakala Paul Scholes dan Nicky Butt menyarankan agar jurulatih dari Portugal itu meninggalkan formasi tiga pertahanan yang digunakannya.
Namun begitu, Amorim tetap bertegas sistem yang diterapkan bukan punca sebenar kegagalan United.
“Benda ini normal. Kita tidak boleh lari daripada keputusan, ditambah lagi dengan ‘beban’ daripada musim lepas.
“Musim lalu tidak penting bagi saya. Kita sudah bincang tentang sistem itu. Musim ini kita main enam perlawanan dan kalah tiga. Kalau kalah dengan Arsenal sebab sistem?
“Kerja anda buat penilaian. Bila tengok lawan City, perkara pertama dalam fikiran anda adakah sistem? Saya tidak rasa begitu. Sama juga ketika lawan Brentford.
“Cara kita bolos, cara kita cipta peluang, itu tiada kaitan dengan sistem. Itu pendapat saya. Saya bukan kata pasukan ini akan jadi lebih baik dengan sistem lain, itu bukan maksud saya.
“Maksud saya, bila tengok balik perlawanan yang kita gagal menang, perkara utama bukanlah kita kalah sebab sistem. Itu pandangan saya, orang lain boleh ada pendapat berbeza dan saya terima,” katanya.
Amorim turut ditanya sama ada para pemain United benar-benar faham corak permainannya walaupun sudah 11 bulan beliau memimpin pasukan.
“Ya, memang nampak tidak menjadi ketika menentang Brentford, tetapi anda tidak boleh kata sesuatu tidak berkesan bila minggu sebelumnya ia berkesan,” tegas pengendali berusia 40 tahun itu.
“Apabila sesuatu menjadi pada satu hari, tetapi tidak menjadi pada hari lain, ia bukan sebab sistem. Ia tentang bagaimana kita lakukan perkara yang sama dengan cara yang sama setiap masa. Masalahnya, kita tidak lakukan dengan konsisten.
“Ada dalam kalangan anda yang berpendapat lain, tapi itu tidak mengapa,” katanya.
Ringkasan AI
- Ruben Amorim mempertahankan sistem permainan Manchester United setelah menerima kritik daripada bekas bintang kelab
- United mengalami permulaan sukar musim ini dengan kekalahan empat daripada tujuh perlawanan
- Bekas pemain mengkritik formasi tiga pertahanan yang digunakan Amorim
- Amorim berpendapat kegagalan bukan disebabkan oleh sistem yang diterapkan
- Amorim menegaskan para pemain faham corak permainannya, mempersoalkan isu konsistensi bukan sistem