Amorim enggan salahkan Onana

Amorim enggan salahkan Onana


PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim tampil mempertahankan penjaga golnya, Andre Onana selepas dua kesilapan pemain itu menyebabkan pasukannya seri 2-2 menentang Lyon dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa pada awal pagi Jumaat.

Onana menjadi sasaran ejekan penyokong Lyon sepanjang perlawanan, susulan kontroversi sebelum perlawanan melibatkan pertelingkahan dengan pemain tengah Lyon, Nemanja Matic yang menggelarnya sebagai antara penjaga gol terburuk dalam sejarah United.

Kesilapan pertama Onana berlaku apabila dia gagal menyelamatkan sepakan percuma Thiago Almada yang membuka jaringan buat tuan rumah.

Meskipun United sempat bangkit menerusi jaringan Leny Yoro dan Joshua Zirkzee, Onana sekali lagi dihukum apabila gagal menghalang rembatan Rayan Cherki pada saat akhir perlawanan.

“Itu boleh berlaku. Dalam bola sepak, apabila anda bermain banyak perlawanan, kesilapan pasti terjadi.

“Tiada apa yang saya boleh katakan kepada Andre ketika ini yang mampu membantu. Kami masih ada satu lagi perlawanan untuk ubah segalanya, dan itu perlu jadi fokus utama kami,” katanya.

United kekal tanpa kalah dalam kempen Eropah musim ini, namun Amorim mengakui gol lewat permainan memberikan impak besar kepada moral pasukan.

“Saya rasa bilik persalinan sangat sunyi. Itu petanda baik. Seri di tempat lawan dalam saingan Eropah bukan mudah. Pasukan sedang ‘menderita’ dan kami perlu ubah keadaan itu,” ujarnya.

Dengan kejayaan dalam Liga Europa menjadi satu-satunya laluan United ke Liga Juara-Juara musim depan, perlawanan timbal balik di Old Trafford minggu depan dianggap penentu hidup mati kempen mereka.

“Saya rasa peluang masih 50-50. Tapi apabila bermain di laman sendiri dengan sokongan penyokong, ia seperti ada pemain tambahan buat kami,” tambah Amorim.



Source link

OR

Scroll to Top