Amorim kekal yakin walau tanpa Fernandes

Amorim kekal yakin walau tanpa Fernandes


Manchester: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, mengakui adalah mustahil untuk menggantikan kapten pasukan Bruno Fernandes yang mengalami kecederaan, namun menegaskan ketiadaan pemain tengah Portugal itu membuka ruang kepada pemain lain untuk tampil memikul tanggungjawab.

Fernandes terpaksa dikeluarkan pada separuh masa perlawanan ketika United tewas 1-2 kepada Aston Villa, Ahad lalu akibat kecederaan, sekali gus meninggalkan pasukan tanpa arkitek utama serangan serta pengatur sepakan bola mati.

Menurut laporan The Times, United optimis Fernandes berpeluang kembali untuk aksi tetangga Manchester pada 17 Januari, namun Amorim enggan mengulas lanjut tahap kecederaan pemain itu.

“Mustahil untuk menggantikan Bruno. Tetapi ramai pemain perlu tampil ke depan,” kata Amorim menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United, Jumaat ini.

“Ia bukan sekadar soal kreativiti. Dalam setiap situasi bola mati, dialah yang mengatur pasukan. Kehilangannya memberi peluang kepada semua untuk sedar bahawa kami tidak boleh bergantung kepada seorang pemain sahaja.

“Kami kehilangan Bruno, Bryan (Mbeumo) dan Amad (Diallo) dalam situasi bola mati, jadi ini satu kehilangan besar, tetapi juga peluang untuk pemain lain menunjukkan kepimpinan yang diperlukan pasukan,” katanya.

Mbeumo dan Diallo kini bersama skuad kebangsaan masing-masing di Piala Negara-Negara Afrika bersama Cameroon dan Ivory Coast.

Amorim turut mengesahkan pemain tengah muda Kobbie Mainoo tidak akan diturunkan, memaksa United melakukan rombakan di bahagian tengah.

“Kami mungkin perlu mencari cara permainan berbeza. Saya fikir Jack Fletcher melakukan tugas dengan baik dan inilah peluang untuk memberi ruang kepada pemain seperti Jack dan yang lain,” katanya.

Amorim tetap yakin dengan kemampuan pasukannya walaupun berdepan krisis pemain.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top