Reaksi Amorim (kiri) semasa perlawanan United menentang Everton. FOTO: AFP
PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim mengkritik para pemainnya kerana tidak memulakan perlawanan dengan baik selepas hanya mampu seri 2-2 dengan Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park pada Sabtu.
Beto dan Abdoulaye Doucoure menjaringkan gol buat Everton pada separuh masa pertama sebelum sepakan percuma Bruno Fernandes dan gol Manuel Ugarte menyelamatkan maruah United.
“Bahagian paling teruk ialah kami kehilangan bola tanpa tekanan dan kami tidak melakukan apa yang sepatutnya kami lakukan.
“Kami tidak berada dalam perlawanan pada separuh masa pertama. Kami melepaskan gol yang mudah dan mereka memanfaatkannya.
“Apabila anda tidak beraksi baik pada permulaan perlawanan (separuh masa pertama), ia akan menjadi sukar. Separuh masa kedua adalah lebih baik dan akhirnya kami hampir memenangi perlawanan ini,” katanya.
Amorim berkata, dia masih belum mempunyai penyelesaian kepada masalah United apabila mereka berada di kedudukan ke-15 liga selepas hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhir Liga Perdana.
“Saya tidak tahu. Jika saya tahu, saya akan mengubahnya.
“Kami perlu fokus hari demi hari, bertahan musim ini dan kemudian berfikir ke hadapan,” katanya.