Manchester: Ketua pasukan Manchester United, Bruno Fernandes percaya pengurus baharu, Ruben Amorim boleh beri impak sama di Old Trafford seperti dilakukannya sebagai pengurus di kelab Portugal, Sporting.
Amorim, 39, tiba di pangkalan latihan United Carrington pada Isnin, sehari selepas perlawanan terakhirnya dengan Sporting dengan melakar kemenangan 4-2 ke atas Braga.
Ia adalah kemenangan ke-11 berturut-turut Sporting ketika mereka berusaha untuk merangkul kejuaraan Liga Primeira kali pertama sejak 1950-an.
Sporting mengharungi hampir 20 tahun tanpa memenangi liga sehingga Amorim membawa pasukan merangkul kejuaraan pada 2021 dan melakukan perubahan besar sehingga mengagumkan ramai pihak termasuk Fernandes.
“Saya harap beliau melakukan perkara yang sama di sini kerana beliau mampu melakukannya dan ketika ini adalah masa yang sesuai,” kata Fernandes.
“Kami berharap dengan kehadirannya beliau dapat membawa misi dan visi yang sama serta menambah kualiti bola sepak buat kelab ini kerana beliau berjaya melakukannya di Sporting.
“Kira-kira 20 tahun lalu, Sporting tidak memenangi kejuaraan liga tetapi beliau hadir dengan membawa mahkota kejuaraan,” katanya.
Amorim dilantik bagi menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada 28 Oktober lalu ekoran prestasi tidak menentu musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd