PRESTASI hambar dan kedudukan tercorot dalam sejarah penyertaan Liga Perdana Inggeris (EPL) nyata belum menggugat kepercayaan barisan pemain Manchester United terhadap pengendali, Ruben Amorim.
Malah, pemain tengah The Red Devils, Manuel Ugarte, menegaskan Amorim masih mendapat sokongan pemain disebalik menamatkan kempen musim 2024/25 di tangga ke-15 serta gagal membawa pulang sebarang kejuaraan utama.
Jelasnya, bekas pengendali kelab liga Portugal Sporting Lisbon itu disifatkan sebagai individu yang tepat untuk memimpin kebangkitan jangka panjang kelab gergasi dari England berkenaan.
Ugarte juga menegaskan bahawa kepercayaan terhadap Amorim tidak pernah luntur, biarpun skuad Red Devils sekadar meraih hanya tujuh kemenangan daripada 27 perlawanan liga.
“Kami akui, banyak yang perlu diperbaiki. Tapi keyakinan kami terhadap jurulatih tetap tinggi. Kami percaya dengan idea dan pendekatan yang beliau bawa dan itu sangat penting.
“Musim lalu kami lalui pelbagai perubahan besar. Tukar jurulatih, ubah formasi, dan ia bukan proses yang boleh beri hasil segera,” katanya.
Ugarte yang pernah beraksi di bawah Amorim ketika bersama Sporting Lisbon berkata, tempoh penyesuaian dalam pasukan sebesar United memerlukan masa, namun ia kini berada di landasan yang betul.
“Bermain untuk United datang dengan tanggungjawab besar. Hubungan sesama pemain juga perlukan masa untuk serasi.
“Saya sudah kenal rentak liga ini, tahu corak permainan lawan, dan itu beri kelebihan dalam menyesuaikan diri,” katanya lagi.
United akan meneruskan siri pramusim di Amerika Syarikat minggu ini, bermula dengan pertembungan menentang Bournemouth di Chicago pada Khamis, sebelum berdepan Everton di Atlanta, Isnin depan.
Aksi pemanas badan terakhir dijadualkan pada 9 Ogos menentang Fiorentina di Old Trafford seminggu sebelum membuka tirai EPL 2025/26 dengan pertemuan tumpuan menentang Arsenal pada 17 Ogos.