Manchester: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menegaskan tidak perlu panik menjelang hari-hari terakhir jendela perpindahan pemain, walaupun pasukannya mengalami satu lagi kekalahan di laman sendiri, tengah malam tadi.
Selepas tewas 0-2 kepada Crystal Palace, United kini sudah kalah tujuh daripada 13 perlawanan liga di Old Trafford musim ini, jumlah kekalahan terbanyak mereka setakat ini sejak musim 1893-94.
United juga bergelut untuk menjaringkan gol, dengan hanya Everton dan tiga pasukan tercorot memiliki jumlah jaringan lebih sedikit dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun, dengan hanya sehari lagi sebelum jendela perpindahan ditutup, Amorim menegaskan United tidak akan membuat keputusan terburu-buru di pasaran pemain.
“Kami sedang mencuba segala-galanya untuk memperbaiki pasukan tanpa mengulangi kesilapan perpindahan masa lalu.
“Kami cuba mengimbangi keperluan yang agak terdesak ketika ini dengan realiti kelab, tetapi kami berusaha sedaya mungkin.
“Apabila jendela perpindahan ditutup, kami akan lihat skuad yang ada. Fokus saya adalah untuk meningkatkan pasukan secara keseluruhan. Kami perlu menang lebih banyak perlawanan dan kami akan cuba melakukannya.
“Kami perlu melakukan penambahbaikan sedikit, cuba meraih mata, mendapatkan momentum, tetapi apabila kami mengalami penurun prestasi, kami harus bangkit semula,” katanya.
Sejak mengambil alih pasukan pada November tahun lalu, Amorim masih belum berjaya mencatatkan dua kemenangan liga berturut-turut.
Namun, dia percaya prestasi pasukannya ketika menentang Palace menunjukkan tanda-tanda peningkatan.
“Persembahan pasukan semakin baik. Tidak banyak, tetapi saya rasa kami bermain lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini, malah lebih baik daripada ketika menentang Southampton.
“Tetapi apabila anda terus kalah, terutamanya di laman sendiri, sebarang peningkatan kecil terasa seperti tiada apa-apa. Kami akan terus berjuang dan melihat bagaimana keputusan dalam perlawanan seterusnya,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd