Amorim tegaskan sasaran menang EPL lebih penting

Amorim tegaskan sasaran menang EPL lebih penting


Amorim pasrah United gagal meneruskan perjuangan mempertahankan trofi Piala FA. FOTO: AFP

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menegaskan bahawa matlamat utama The Red Devils untuk kembali menguasai Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tersingkir daripada saingan Piala FA tewas kepada Fulham menerusi penentuan penalti.

Kekalahan kepada The Cottagers itu menambah derita buat Amorim yang masih bergelut dalam musim pertamanya di Old Trafford dengan pasukannya kini berada di tangga ke-14 liga dan ketinggalan 34 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu menegaskan bahawa kejuaraan EPL kekal sebagai sasaran utama berbanding kejayaan dalam saingan piala domestik.

“Matlamat kami menjuarai Liga Perdana. Saya sedar kami mengalami kekalahan dan kehilangan trofi musim ini, tetapi fokus kami tetap untuk menjuarai liga sekali lagi.

“Saya tidak tahu berapa lama ia akan mengambil masa, tetapi itu adalah tujuan kami. Jika kita berfikiran seperti itu, kita boleh menghadapi kekalahan ini dengan lebih baik dan terus bergerak ke hadapan tanpa mengira apa yang berlaku,” katanya.

Ketika ini, impian untuk melihat United kembali menguasai bola sepak Inggeris kelihatan sukar dengan rekod Amorim yang hanya mencatat lima kemenangan dalam 16 perlawanan liga sejak mengambil alih.

“Mustahil untuk menjangka berapa lama masa yang diperlukan.

“Tetapi kami semakin memahami liga ini, para pemain juga semakin baik, dan kami tahu apa yang perlu dilakukan dengan skuad serta perancangan masa depan,” ujarnya.

Fokus utama United kini tertumpu kepada saingan Liga Europa, satu-satunya peluang mereka untuk merangkul trofi musim ini.

Namun, cabaran getir menanti apabila mereka bakal berdepan Real Sociedad di pusingan 16 terbaik, dengan situasi semakin mencabar selepas terpaksa beraksi selama 120 minit dalam perlawanan menentang Fulham.

“Perlawanan itu sangat penting tetapi kami perlu memastikan pemain kembali cergas serta memberikan peluang kepada pemain lain yang keletihan,” kata Amorim.



Source link

OR

Scroll to Top