PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menegaskan bahawa kejayaan menjuarai Liga Europa mampu menjadi pemangkin penting buat kelab tersebut, meskipun tidak dapat sepenuhnya menebus musim yang hambar di saingan domestik.
Setakat ini, United sekadar menghuni tangga ke-14 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya mengumpul 39 mata setelah mencatatkan 15 kekalahan – satu rekod yang mengecewakan bagi kelab seberprestij itu.
Namun, Amorim percaya kejayaan di pentas Eropah mampu menyuntik semangat baharu, sekali gus menamatkan kempen musim ini dengan nota positif serta membuka lembaran baharu dalam proses pemulihan kelab.
“Semua pihak sedar betapa pentingnya pertemuan menentang Athletic Bilbao dalam aksi separuh akhir ini kepada musim kami.
“Kami akui, tiada apa yang mampu memulihkan musim ini sepenuhnya. Namun, memenangi trofi ini dan seterusnya layak ke Liga Juara-Juara Eropah bakal memberi impak besar terhadap masa depan kelab,” ujar Amorim.
Manchester United dijadualkan berkunjung ke Stadium San Mamés, Sepanyol bagi aksi separuh akhir pertama menentang kelab La Liga, Athletic Bilbao pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Amorim menekankan bahawa penyertaan dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan bukan sekadar isu prestij semata-mata, sebaliknya boleh membawa perubahan menyeluruh, termasuk dari aspek perancangan pembelian pemain pada jendela perpindahan musim panas nanti.
“Penyertaan di pentas tertinggi Eropah mampu mengubah perancangan musim panas serta memperbaiki prospek kelab bagi musim akan datang.
“Namun, kejayaan ini bukanlah penyelesaian menyeluruh terhadap segala permasalahan dalaman yang telah lama membelenggu kami. Sama ada kami layak atau tidak, usaha untuk memperbaiki kelab akan diteruskan,” tegas beliau.
Ketika ditanya mengenai jurang prestasi yang ketara antara saingan Eropah dan kemerosotan dalam liga domestik, Amorim secara jujur mengakui kekurangan jawapan konkrit, sambil merujuk kepada masalah penyudah sebagai punca utama.
“Saya sendiri tidak pasti mengapa persembahan kami lebih meyakinkan di pentas Eropah. Dalam beberapa perlawanan, kami kurang mencipta peluang, tetapi ketika menentang Bournemouth baru-baru ini, kami berjaya melakukannya.
“Namun, ketumpulan di hadapan gol menghampakan kami. Kadangkala, tiada penjelasan logik untuk situasi seperti ini. Kami masih jauh daripada mencapai tahap konsistensi yang diharapkan. Kekurangan jaringan jelas telah menyebabkan kami kehilangan banyak mata berharga,” katanya lagi.
Mengenai polemik pasukan dengan prestasi domestik hambar tetapi layak ke Liga Juara-Juara melalui kejayaan di Liga Europa, Amorim menegaskan bahawa United wajar memanfaatkan peluang yang tersedia tanpa mengendahkan persepsi luar.
“Peraturan sedia ada memang begitu. Mungkin ada yang menganggap ia tidak adil kerana hanya pasukan terbaik dalam liga domestik wajar ke Liga Juara-Juara, namun saya percaya peraturan ini diwujudkan bagi meningkatkan nilai saingan Liga Europa.
“Selagi peluang itu ada, menjadi tanggungjawab kami untuk berjuang sebaik mungkin,” jelas Amorim.
LIGA EUROPA
JUMAAT
Separuh Akhir Pertama
Atletic Bilbao lwn Manchester United, 3 pagi
Tottenham Hotspur lwn Bodo Glimt, 3 pagi