Anak kepada pelakon Amyza Aznan iaitu Adrian Azam menzahirkan ucapan terima kasih buat pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman atas sokongan yang diberikan.
Menerusi perkongsian di Insta Story, Adrian berkata sokongan yang diberikan amat bermakna ketika melalui ujian berat tersebut.
BACA: Amyza Aznan Diuji Lagi, Anak Kedua Disahkan Kanser Tulang

“Kepada abang Fattah dan akak Amira, saya tidak tahu bagaimana nak ucapkan terima kasih atas sokongan dan kebaikan kalian.
“Hanya Allah saja yang tahu sebesar mana saya menghargai semua itu. Semoga Allah membalas jasa baik kalian di dunia dan di akhirat,” katanya.
Bagaimanapun, Adrian tidak menyatakan bentuk bantuan diberikan oleh pasangan tersebut.
Sementara itu, Adrian turut mengucapkan terima kasih buat mereka yang mendoakan buat dirinya serta keluarga.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih buat semua yang mendoakan saya, abang dan keluarga. Doa daripada keluarga, kawan-kawan malah individu luar yang kami tidak kenali. Terima kasih.
“Hanya Allah yang tahu betapa mendalamnya rasa syukur ini. Semoga Allah memberi ganjaran pahala buat semua,” tulisnya.
Sebelum ini, Amyza berkongsikan anak keduanya Adrian disahkan menghidap kanser tulang.





