Pelakon, Sasha Abdul Aziz memaklumkan dia mengambil keputusan untuk tidak membesarkan anak-anak dengan bermain gajet.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Sasha berkata keputusan tersebut dilakukan pada tujuh hari lalu selepas mendapati perubahan emosi anak-anaknya ke arah negatif akibat terlalu banyak meluangkan masa bermain gajet.
“I decided to raise them without ‘screen’. To be honest, this is a big decision yang saya lakukan tujuh hari lalu sebab selama ni memang saya bagi anak-anak gajet.
“Tetapi saya perasan anak-anak selalu overstimulate lepas tu marah-marah dan kurang ajar,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Sasha meluahkan rasa syukur apabila kini anak-anaknya semakin aktif, ceria dan mula melibatkan diri dengan keadaan sekeliling.
“Alhamdulillah, hari ketujuh tiada telefon dan ipad. Anak-anak sangat ceria dan paling penting bergaul dengan orang-orang di sekeliling mereka,” katanya di platform Threads.
Sasha turut memberi bayangan dia bakal memberikan gajet semula kepada anak-anaknya ketika mereka mencecah usia 15 tahun.






