Isu pengantunan seksual dalam talian (online sexual grooming) bukan lagi kisah luar negara. Ia berlaku di sekitar kita, melibatkan anak-anak yang masih bersekolah.
Mereka menjadi mangsa yang terperangkap dalam pujukan manis tanpa menyedari diri mereka sedang dijerat perlahan-lahan.
Di sebalik mesej yang kelihatan mesra, tersembunyi niat jahat yang disusun rapi oleh pemangsa. Mereka memanfaatkan aplikasi popular seperti Facebook atau WhatsApp, menyamar sebagai rakan sebaya, pendengar setia malah menggunakan identiti palsu yang sukar dikesan.
Kes melibatkan penceramah selebriti Da’i Syed dan pempengaruh CEO Batu membuka mata masyarakat bahawa status sosial atau imej keagamaan tidak menjamin kejujuran di alam maya. Dalam kedua-dua kes, manipulasi psikologi menjadi senjata utama sebelum jenayah fizikal berlaku.
Lebih membimbangkan, modus operandi pemangsa semakin licik. Mereka tidak terburu-buru, malah membina kepercayaan mangsa sedikit demi sedikit sehingga ke tahap mangsa sendiri tidak sedar mereka sedang dijerat.
Di atas kesedaran itulah Kementerian Komunikasi yang diterajui Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil menguatkuasakan lesen terhadap syarikat media sosial yang beroperasi di negara ini bermula 1 Januari 2025.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu bertujuan meningkatkan keselamatan online, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.
Fahmi menjelaskan, pelesenan itu bukan bertujuan menyekat hak bersuara atau mengekang perkara berkaitan politik namun sebaliknya demi memastikan penggunaan Internet yang selamat.
Katanya, pelesenan media sosial mampu menyekat kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Menariknya, langkah Malaysia itu mendapat perhatian beberapa negara seperti United Kingdom (UK) dan Singapura yang menyatakan minat untuk mengikuti langkah sama.
Usaha Kementerian Komunikasi untuk mewujudkan Internet yang selamat tidak terhenti di situ apabila Fahmi baru-baru ini mengumumkan Kabinet secara dasar bersetuju dengan cadangan menaikkan had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun.
Dalam konteks ini, banyak pihak bersetuju bahawa kawalan bukan bermaksud mengekang kebebasan, sebaliknya melindungi pengguna daripada ancaman yang semakin kompleks.
Namun masalahnya, bukan semua ibu-bapa sedar tentang ancaman sebenar ini. Ada yang menganggap anak mereka selamat hanya kerana berada di rumah, sedangkan hubungan sulit antara mangsa dan pemangsa berlangsung di skrin kecil yang sentiasa berada di tangan.
Beberapa kes dilaporkan bermula dengan mesej biasa, sebelum berubah menjadi permintaan gambar peribadi atau video tidak senonoh.
Mangsa pula takut untuk memberitahu sesiapa, kerana terikat dengan perasaan percaya dan ancaman halus daripada pemangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pernah menyuarakan kebimbangan bahawa 75 peratus daripada mangsa jenayah seksual di Malaysia adalah individu bawah umur 18 tahun. Beliau turut memaklumkan bahawa kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak meningkat lebih 53 peratus dalam tempoh empat tahun, daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes pada 2024.

Peningkatan ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk kawalan dan pendidikan digital yang lebih menyeluruh.
Dalam satu kenyataan bersama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan mereka sedang memperhebat usaha memerangi eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian melalui tindakan penguatkuasaan dan kempen kesedaran awam.
Langkah ini termasuk bekerjasama dengan penyedia platform bagi mengekang penyebaran kandungan berunsur seksual terhadap kanak-kanak serta mempercepatkan pengesanan akaun pemangsa yang aktif berinteraksi dengan remaja.
Baru-baru ini, MCMC dan PDRM menggerakkan operasi besar-besaran iaitu Op Pedo 2.0 yang menyaksikan 31 suspek ditahan di 37 lokasi seluruh negara.
Lebih 880,000 fail bahan eksploitasi seksual kanak-kanak berjaya dirampas dan ia merupakan peningkatan hampir 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0.
Siasatan mendapati sindiket beroperasi menggunakan Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram dan Dark Web bagi berkongsi serta menjual bahan lucah kanak-kanak melalui e-wallet dan kod QR.
Lebih mengejutkan, remaja turut terlibat termasuk seorang pelaku berusia 17 tahun yang dikesan melakukan transaksi mencecah RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan.
Walaupun pelbagai mekanisme telah dilaksanakan, masalah sebenar masih berpunca daripada sikap pengguna yang terlalu mudah percaya. Dunia digital memerlukan kematangan emosional, bukan sekadar kemahiran teknikal.
Dalam banyak kes, pemangsa menggunakan kelemahan emosi mangsa seperti kesunyian, keinginan untuk diterima atau rasa ingin tahu sebagai pintu masuk.
Ia menjadikan online sexual grooming satu bentuk jenayah yang sangat halus tetapi berbahaya. Justeru, langkah Kementerian Komunikasi melesenkan platform media sosial dilihat sebagai satu bentuk tanggungjawab bersama.
Namun langkah ini memerlukan keseimbangan antara penguatkuasaan dan kebebasan bersuara. Ia bukan sekadar soal undang-undang, tetapi juga kepercayaan antara rakyat dan pihak berkuasa dalam menguruskan dunia maya yang semakin liar.
Sudah tiba masanya masyarakat berhenti menutup mata kerana di sebalik setiap mesej manis, mungkin ada perangkap yang menunggu. Berhati-hatilah!






