ISLAM amat mengambil berat soal keutuhan dan kebahagiaan rumah tangga. Pembentukan keluarga dalam Islam bermula dengan ikatan perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan secara sah dan mengikut hukum Islam.
Apabila rumah tangga dibina dengan asas sempurna dan mengikut garis panduan syarak, maka ia akan mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT. Oleh itu membina keluarga yang bahagia dan penyayang mestilah mengikut ajaran dan panduan digariskan Islam.
Islam mengingatkan isteri amanah daripada Allah SWT dan menjadi kewajipan ke atas setiap suami agar menjaga, memelihara dan memberi pendidikan sebaik-baiknya. Bagi pihak isteri pula, wajib mentaati suami mereka dalam semua perkara selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Anak-anak pelengkap dalam kehidupan berumah tangga. Anak-anak juga amanah Allah SWT kepada setiap ibu bapa untuk dijaga, dipelihara dan diberi pendidikan sempurna.
Kewajipan ibu bapa ialah membentuk peribadi anak-anak selaras dengan tuntutan agama. Ibu bapa contoh teladan kepada anak-anak. Oleh itu, sewajarnya ibu bapa beri contoh terbaik dengan berkelakuan sopan dan mulia, di samping menunaikan segala tuntuan agama dan meninggalkan larangannya.
Selain itu, ibu bapa wajib memberi ilmu yang seimbang kepada anak-anak iaitu merangkumi ilmu dunia dan akhirat. Anak-anak yang berilmu dan beriman akan sentiasa mengingati ibu bapa mereka tatkala ibu bapa mereka lanjut usia ataupun meninggal dunia.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila mati seorang manusia (anak Adam), maka terputuslah daripadanya segala amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Riwayat Muslim, Hadis no 1631)
Tanpa bekalan ilmu dunia dan akhirat, anak-anak akan hilang panduan dalam menjalani kehidupan. Kegagalan ibu bapa memberi pendidikan agama yang sempurna mengakibatkan terjadinya pelbagai gejala sosial, sekali gus memberikan kesan yang tidak baik kepada negara.
Selain pendidikan, ibu bapa harus memberi kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak dengan mendampingi mereka dan sentiasa berada di samping mereka walau dalam apa keadaan sekalipun.
Ibu bapa yang menyayangi anak-anak akan disayangi sepanjang masa dan begitulah sebaliknya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Sesungguhnya al-Aqra’ bin Habis pernah melihat Nabi SAW memeluk Hasan. Lalu al-Aqra’ berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi (anak-anak), nescaya beliau tidak akan disayangi.” (Riwayat al-Bukhari, Hadis no 5538)
Bagi ibu bapa yang tidak menyayangi dan menghiraukan anak-anak mereka, Allah SWT akan menarik balik segala nikmat dikurniakan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: “Pada suatu hari, beberapa Arab desa (Badwi) datang kepada Rasulullah SAW. Mereka bertanya kepada para Sahabat: Apakah kamu pernah memeluk anak-anak kecil kamu? Para sahabat menjawab: Ya. Orang-orang kampung itu berkata: Akan tetapi, demi Allah, kami belum pernah memeluknya. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya Allah SWT mencabut rahmat-Nya daripada kamu.” (Riwayat al-Bukhari, Hadis no 5538)
Ibu bapa harus bersedia membantu anak-anak, sama ada dalam pelajaran mahupun dalam hal pergaulan dengan tunjuk ajar dan nasihat. Sikap ibu bapa seperti ini akan menjadikan anak-anak merasa diri mereka disayangi dan dilindungi. Hubungan yang baik antara anak dan ibu bapa membawa ke arah keluarga bahagia.
Islam mewajibkan anak-anak sentiasa menghormati dan mentaati kedua ibu bapa mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kesusahan demi kesusahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. (Ingatlah!) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman ayat 14)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling utama? Baginda SAW bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda SAW bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda SAW bersabda: Berjuang di jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim, Hadis no 120)
Menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa antara dosa-dosa besar. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa-dosa besar. Baginda bersabda: “Menyekutukan Allah, mengherdik kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu.” (Riwayat Muslim, Hadis no 120)
Di samping itu anak-anak perlu dididik dengan pergaulan baik sesama mereka. Ibu bapa mesti berlaku adil dalam melayani karenah anak. Anak-anak yang lebih kecil perlu dididik agar menghormati saudara lebih tua dan sebaliknya, saudara yang lebih tua harus bersikap tolak ansur dan belas kasihan terhadap adik-adik yang lebih kecil.
Sikap seperti ini amat perlu dalam memastikan keharmonian dan kebahagiaan dalam sebuah keluarga. Tanpa hasad dengki dan rasa permusuhan, barulah keluarga dapat hidup bahagia, saling hormat-menghormati, aman damai serta penuh kasih sayang.
Oleh itu, kita sepatutnya berbangga kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim. Hal ini kerana, Islam agama yang lengkap merangkumi segala aspek kehidupan. Segala-galanya bertunjangkan akidah tauhid.
Hal ini diakui sendiri Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud, “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Ma’idah ayat 3)
Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)
© New Straits Times Press (M) Bhd