MELAKA : Seorang ibu kepada bayi perempuan berusia 22 bulan yang diserang sawan selepas didakwa menunggu hampir 11 jam untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, berharap insiden tersebut tidak berulang dan pihak hospital dapat menambah baik mutu perkhidmatan.
Siti Aishah Rahim, 27, berkata, dia dan suaminya telah menerima permohonan maaf daripada pihak hospital yang datang bertemu mereka di wad pagi tadi namun mahu kejadian itu menjadi pengajaran agar tiada lagi pesakit terutama kanak-kanak mengalami situasi serupa.
Menurutnya, insiden yang menimpa anak sulungnya itu sangat memilukan apatah lagi selama ini dia hanya melihat kejadian seumpamanya tular di media sosial tetapi kali ini berlaku ke atas diri sendiri.
“Kita tengok kes orang lain di media sosial, tidak sangka kali ini kena pada anak sendiri, memang sedih dan kecewa, tapi perkara sudah jadi.
“Pagi tadi, pihak hospital datang jumpa saya dan suami di wad, mereka minta maaf, cakap akan siasat dan baiki apa yang silap dan kami terima permohonan maaf tu dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui.
Katanya, anaknya kini masih dalam pemantauan rapi selepas suhu badan tidak menentu dan turut dijangkiti virus, menyebabkan rawatan perlu diteruskan.
Tambah Siti Aishah, dia kini lebih berwaspada termasuk mengelakkan kawasan sesak dan memakai semula pelitup muka demi keselamatan anak.
“Doktor sudah pesan, apabila dah kena sekali, risiko sawan boleh datang balik kalau demam tinggi. Jadi saya harap ibu bapa lain pun lebih berhati-hati, terutama dengan anak kecil.
Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem memaklumkan satu siasatan telah diarahkan terhadap kes kelewatan rawatan melibatkan seorang bayi perempuan berusia 22 bulan yang didakwa menunggu hampir 11 jam di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka sebelum diserang sawan pada Sabtu lalu.-UTUSAN.