Anak fobia dan trauma psikologi – Ako Mustapha

Anak fobia dan trauma psikologi – Ako Mustapha


KUALA LUMPUR: Pelakon, Ako Mustapha, 55, memberitahu isu buli membabitkan anak lelakinya, Mikael Iskandar Mustapha, 10, kini mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Malah, Ako berkata setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan dengan kerjasama sekolah dan pihak terbabit sebelum meneruskan dengan tindakan selanjutnya.

“Kami desak polis melakukan siasatan secara menyeluruh kerana perkara ini tidak boleh dibuat secara membabi buta. Mesyuarat dengan semua pihak berkaitan akan diadakan.

“Disebabkan perkara ini semakin mendapat perhatian, saya difahamkan Menteri Pendidikan akan turun padang untuk berjumpa semua pihak yang terlibat,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Next Level anjuran mStar dan Suria di Saloma Bistro, petang tadi.

Ako atau Muhaizad Ahmad Mustapha bersyukur Mikael berada dalam keadaan stabil, namun, mengakui terdapat kesan lain yang disedari selepas pemeriksaan lanjut di hospital.

“Alhamdulillah, anak saya okay. Dekat hospital pun dia sudah buat kawan baru dan bermain bersama-sama.

“Bagaimanapun, pakar psikologi kanak-kanak memberitahu, walaupun pada awalnya kelihatan normal, pemeriksaan lanjut hari ini mendapati terdapat lebam yang tidak disedari.

“Dia juga mengalami sedikit fobia serta trauma psikologi akibat kejadian itu,” katanya.

Ako berkata, setakat ini masih belum ada sebarang pertemuan atau komunikasi daripada ibu bapa kepada pembuli terbabit.

“Ibu bapa pelaku masih belum berjumpa atau menghubungi saya. Namun, pegawai penyiasat (IO) komited dalam memastikan siasatan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Selepas laporan dibuat, IO menghubungi semua pihak berkaitan walaupun awal pagi. Saya hanya mengikuti nasihat pihak polis kerana mereka lebih arif dalam mengendalikan kes seperti ini.

“Mereka juga akan menjelaskan prosedur, syarat serta implikasi undang-undang yang terlibat. Namun, saya mohon maaf kerana tidak dapat berkongsi butiran lanjut buat masa ini,” katanya.

Ako dalam hantaran di Threads memaklumkan kejadian buli itu membabitkan lima murid iaitu dua murid senior dan tiga sebaya.

Menurut Ako, kejadian yang menimpa Mikael hanya disedari selepas anaknya itu pulang dari sekolah dan selesai mandi.

Dalam perkembangan sama, polis telah menerima laporan anak pelakon itu yang didakwa menjadi mangsa buli di sekolahnya di Wangsa Maju, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman dilapor berkata, pihaknya  menerima laporan polis berhubung kejadian itu.



Source link

OR

Scroll to Top