SIRI 1
am@hmetro.com.my
SHAHEIZY Sam cukup dikenali di persada perfileman tanah air menerusi lakonannya dalam filem Bohsia : Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Adnan Sempit, Evolusi KL Drift (2010) dan Polis Evo (2015), Polis Evo 2 (2018) serta Polis Evo 3 (2023) pada zaman kegemilangannya dulu.
Selepas lebih tiga dekad dalam industri seni tempatan, Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abdul Samad, 43, kini mengambil pendekatan mengehadkan tawaran berlakon diterimanya kepada satu atau dua filem sahaja setahun.
Selain mahu membuat persiapan terbaik bagi watak yang bakal dilakonkan, Sam juga memberi fokus pada rumah tangga yang dibina bersama isteri, Syatilla Melvin dan tiga anak mereka yang semakin membesar.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaannya menempa nama dalam bidang seni, ramai yang tidak tahu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini ‘struggle’ (bergelut) untuk mencari tapak dalam bidang seni kerana berperwatakan pendiam dan ‘introvert’ sejak kecil.
Ketika ditemui Harian Metro, Sam berkongsi pembabitan awalnya dalam bidang seni sebagai pelakon kanak-kanak seawal usia 12 tahun, tetapi dibayangi kakak yang juga pelakon, Zizie Izette yang terlebih dulu menceburi bidang seni tanah air.
“Semuanya bermula pada 1994 di mana saya selalu menemani Zizie berlakon dan saya pun dapat peluang berlakon sikit-sikit.
“Pada peringkat awal berlakon, saya memang menumpang nama Zizie sebab saya tidak ada perancangan nak jadi pelakon pun sebelum ini,” katanya.
Sam berkata, dia juga dapat ‘rezeki terpijak’ untuk ganti tempat pelakon lain yang tidak datang dan berganding dengan Zizie dalam filem Kekasih Awal dan Akhir. Zizie pegang watak adik kepada pelakon Sofea Jane dalam filem itu.
“Pada mulanya, saya hanya menemani Zizie, tapi pelakon yang sepatutnya berganding dengan dia tak datang ke set dan watak itu digantikan dengan saya,” katanya.
Berkongsi lanjut, kata Sam, kehidupan keluarganya juga ‘struggle’ sebelum ini hingga ibunya, Khaty Fauziah terpaksa menghantar profil Zizie kepada semua agensi iklan dan ‘casting’ (bakat) ketika itu.
“Bermula dengan Zizie yang dapat tawaran buat iklan hingga saya pun turut sama.
“Dari agensi iklan dan ‘casting’ itu, Zizie dapat tawaran watak adik kepada Sofea Jane dalam filem Kekasih Awal dan Akhir.
“Masa itu, saya pun dapat berlakon juga dalam filem itu, tapi orang tak nampak sangat bakat saya dalam filem tu. Sehingga saya dapat tawaran berlakon dalam filem Sama Tak Serupa pada 1995,” katanya.
Bagaimanapun, kata Sam, dia mula seronok dan minat dalam bidang lakonan bila dapat bayaran, sekali gus membantu mengurangkan beban keluarga.
“Bukan saya dan Zizie sahaja, mummy (ibu) juga mula dapat peluang berlakon bila menemani Zizie ke set.
“Saya juga dapat peluang bantu keluarga dengan duit hasil lakonan sejak darjah enam. Sebagai kanak-kanak, saya anggap bayaran yang diterima itu besar nilainya pada masa itu.
“Bila masuk tingkatan satu, ada juga segelintir pengarah dan produser yang tawarkan saya berlakon,” katanya.
Kata Sam lagi, namanya mula dikenali ramai menerusi lakonannya dalam Drama Pa’e berganding dengan pelakon Bell Ngasri pada 1997.
“Orang mula nampak saya boleh berlakon menerusi drama Pa’e ketika berusia 15 tahun dan mula kenal saya sebagai adik kepada Zizie ketika itu.
“Tapi, saya tidak berlakon secara sepenuh masa pun kerana masih bersekolah.
“Mummy juga beri sokongan pada kami ceburi bidang lakonan sebagai sumber pendapatan kerana kehidupan keluarga kami juga ‘struggle’ ketika itu,” katanya.
Pada masa sama, kata Sam, ada anggota keluarga yang terkejut dan tidak menyangka perubahan dirinya sekarang.
“Kalau nak tengok perangai saya dulu, sama macam anak saya yang nombor dua di mana dia dalam dunianya yang tersendiri.
“Jadi, bila saya mula berlakon, keluarga yang kenal saya dari kecil dulu terkejut dan tidak menyangka saya boleh berjaya dalam bidang lakonan sekarang.
“Sebab bila ada saudara-mara atau orang datang ke rumah masa saya kecil dulu, saya tak bercakap dan akan menyorok dalam bilik,” kata Sam mengakui perwatakannya sangat berbeza dengan kakaknya, Zizie.
ESOK: Anggota band hip-hop M.O.B
© New Straits Times Press (M) Bhd






