September 8, 2024

Anak jati Sarawak pembawa Jalur Gemilang, kebanggaan kita – Hannah

Anak jati Sarawak pembawa Jalur Gemilang, kebanggaan kita – Hannah


KUALA LUMPUR – Anak jati Sarawak, Bertrand Rhodict Lises merupakan pembawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris yang dijadual berlangsung pada jam 1.30 pagi Ahad waktu Malaysia.

Pemilihan penerjun lelaki negara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam media sosialnya.

“Busana emas lambang harapan rakyat Malaysia mendapat pingat emas pertama! Pembawa Jalur Gemilang, anak jati Sarawak, kebanggaan kita – Bertrand Rhodict Lises,” kata Hannah.

Atlet berusia 19 tahun itu merupakan atlet negara pertama layak secara merit ke Paris genap setahun lalu. Dia antara 26 orang atlet Malaysia yang akan ke Olimpik di ibu negara Perancis itu.

Dia menjadi anak Sarawak keempat diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Olimpik, selepas atlet olahraga, Kuda Ditta (Rome 1960), penerjun Bryan Nickson Lomas (Athens 2004) dan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong di London pada edisi 2012.

Selain Bertrand Rhodict Lises turut dipilih membawa Jalur Gemilang adalah atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif

Pengumuman pemilihan kedua-dua mereka dibuat oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada 1 Julai lalu.

Media sebelum ini melaporkan, kontinjen negara akan menggayakan baju kurung songket dengan kelubung untuk atlet wanita dan atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga.

Busana ‘The Malaya’ merupakan sentuhan pereka duo, Rizman Ruzaini.

Bagaimanapun pemilihan nama ‘The Malaya’ menimbulkan rasa tidak puas hati netizen seolah-olah meminggirkan Sabah dan Sarawak.

MalaysiaGazette melaporkan, rata-rata pengguna X dari Sabah dan Sarawak mempertikaikan nama itu yang dianggap tidak mewakili mereka.

Menurut mereka, berdasarkan sejarah, nama Malaya merujuk kepada Tanah Melayu sebelum merdeka yang kini dikenali sebagai Semenanjung Malaysia.

The Malaya bertemakan ‘Manis dan Sopan’ dengan atlet wanita akan menggayakan busana tradisional kerubung yang sinonim dengan wanita Malaya.

Manakala baju Melayu Teluk Belanga untuk atlet lelaki sebagai junjungan kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor.

Menurut dua pereka itu, koleksi The Malaya yang berona hijau zaitun tanda dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut , Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan Tuanku Abdul Rahman.

Katanya, dengan meletakkan songket sebagai motif utama, ia meletakkan kedudukan atlet di tempat yang tinggi tanda penghargaan perjuangan mereka membawa pulang pingat kemenangan.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top