Anak lelaki Tabib Adam simpan 79 keris, tombak ‘berpenunggu’ ditahan

Anak lelaki Tabib Adam simpan 79 keris, tombak ‘berpenunggu’ ditahan


ALOR GAJAH – Anak lelaki pengasas kaedah perubatan Adam Isa atau dikenali Tabib Adam yang diputuskan sesat bulan lalu oleh Jawatankuasa Fatwa Melaka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah atas kesalahan memiliki senjata berbahaya.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan di sebuah rumah pusat rawatan tradisional dikenali Pusat Perubatan Islam Sunan Kalijaga, Batu 18 Paya Rumput, Masjid Tanah di sini pada 24 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam serbuan, pihaknya menjumpai lebih 79 senjata tajam jenis keris, parang, pedang dan tombak yang dikategorikan di bawah Senjata Berjadual di dalam stor rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah

“Suspek mengaku senjata berkenaan adalah milik bekas pesakit-pesakit yang pernah datang membuat rawatan di situ yang dikatakan ada ‘penunggu’ dan meminta ayahnya dikenali Tabib Adam untuk ‘membersihkannya’.

“Sebahagian daripada senjata berkenaan juga didakwa digunakan sebagai ʼpengerasʼ daripada pesakit ayahnya untuk mendapatkan rawatan, namun dia tidak terlibat dalam perawatan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Ashari, susulan itu suspek ditahan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis untuk disiasat di bawah kesalahan memiliki senjata berbahaya mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Dan Senjata Berbahaya 1958.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaraya Melaka dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Pada 25 Oktober lalu, media melaporkan JAIM mengetuai serbuan itu di pusat rawatan alternatif itu yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga Tabib Adam M Isa selama hampir empat jam bermula 11.30 pagi.

Semasa pemeriksaan didapati pusat rawatan dan tempat jualannya ditutup malah kelibat Adam bin Isa dan isterinya juga tiada kecuali dua anaknya iaitu lelaki dan perempuan serta dua wanita pekerja pusat rawatan tersebut.

Susulan itu, JAIM meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bantu mengesan lelaki itu yang dipercayai sudah melarikan ke Singapura. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kaedah perubatan Tabib Adam sesat, unsur khurafat – Mufti



Source link

OR

Scroll to Top