Anak Malaysia di sebalik tabir filem The Fantastic Four : First Steps

Anak Malaysia di sebalik tabir filem The Fantastic Four : First Steps


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Filem terbaharu Marvel, The Fantastic Four: First Steps arahan Matt Shakman yang bakal ditayangkan di pawagam di seluruh dunia tahun depan, menjadi antara karya paling dinantikan peminat setia produk keluaran Marvel Cinematic Universe (MCU).

Namun, lebih membanggakan, ketika semua pihak meraikan kejayaan dan kesepaduan antara kaum pada Hari Kebangsaan Ke-68, nama seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Ahmad Hamidullah, terpampang dalam senarai kredit atau penghargaan bagi tenaga belakang tabir petugas pasca produksi filem francais terkemuka itu.

Nama Ahmad dilihat dalam ‘trailer’ The Fantastic Four: First Steps yang dimuat naik studio gergasi terbabit, lantas mencuri perhatian ramai.

Ahmad yang kini bertugas sebagai Senior Texture Artist di Syarikat Base-FX Kuala Lumpur berkata, pengalaman terbabit dalam projek Marvel ibarat mimpi jadi kenyataan memandangkan standard kerja yang diletakkan studio gergasi terkemuka itu sangat tinggi.

“Cabaran utama bekerja dengan produksi gergasi seperti Marvel adalah mereka sangat menitikberatkan ketelitian, kualiti visual dan ‘perfect pixel’.

“Sebagai artis, kami perlu mengasah mata dan kemahiran sebaik mungkin untuk mencapai visual yang kita tonton di pawagam,” katanya.

Ahmad menjelaskan, walaupun tidak terbabit secara langsung dengan penggambaran, tugasan menghasilkan tekstur 3D adalah salah satu elemen penting dalam menjayakan visual kesan khas filem.

“Ramai orang salah anggap mengenai pembabitan saya dalam Fantastic Four. Tugas saya adalah menghasilkan tekstur untuk model 3D dalam filem itu.

“Base-FX ditugaskan Marvel Studios untuk menghasilkan beberapa bahagian shot efek khas dalam filem Fantastic Four (F4),” katanya.

Ahmad yang pernah mendapat penghargaan sama ketika terbabit dalam filem Ironheat dan Deadpool berkata, peluang bekerjasama dengan syarikat produksi antarabangsa itu sangat berharga.

Melaluinya, Ahmad bukan saja dapat mempelajari disiplin kerja yang ketat, malah membuka ruang untuk bertukar pengalaman dengan rakan sekerja lain yang berbakat besar.

Biarpun sudah membina nama di pentas antarabangsa, Ahmad mengakui masih belum berpeluang menyumbang kepakarannya dalam pasca produksi filem tempatan.

“Buat masa ini, saya belum berpeluang untuk terbabit dalam pasca produksi filem Malaysia. Jadi, saya tidak dapat beri perbandingan yang jelas.

“Tetapi, apa yang pasti, bajet untuk efek visual atau VFX filem tempatan agak terhad. Sedangkan di Malaysia kita ada ramai artis dan anak muda berbakat. Cuma peluang pekerjaan masih kurang kerana tidak banyak syarikat multinasional (MNC) membuka cawangan di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berpendapat kerajaan perlu memainkan peranan lebih besar dalam menarik minat syarikat MNC untuk melabur dan membuka cawangan di Malaysia.

Katanya, ketika ini ramai bakat tempatan terpaksa mencari rezeki di luar negara dalam bidang VFX kerana kekurangan peluang di tanah air sendiri.

“Ramai rakyat Malaysia berbakat dalam bidang ini, tetapi disebabkan peluang terhad, mereka berhijrah untuk bekerja dengan syarikat antarabangsa di luar negara.

“Kalau MNC besar dapat buka cawangan di Malaysia, saya yakin lebih ramai anak muda dapat menyerlah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut menitip nasihat buat mereka yang berminat untuk membina kerjaya dalam bidang VFX.

“Kalau minat seni dan mahu jadikan ia kerjaya, ikut kata hati dan semangat sendiri. Teruskan asah kemahiran, jangan berhenti berlatih dan sentiasa peka terhadap peluang yang ada.

“Dunia VFX ini luas, jadi sentiasa kerja keras untuk diri sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top