Anak mohon roboh rumah dibina Lee Kuan Yew

Anak mohon roboh rumah dibina Lee Kuan Yew


KUALA LUMPUR – Anak Lee Kuan Yew telah membuat permohonan untuk merobohkan rumah milik pengasas Singapura tersebut.

Lee Hsien Yang berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan wasiat Kuan Yew yang mahu rumah yang terletak di 38 Oxley Road dirobohkan selepas anak perempuan pengasas Singapura itu, Dr Lee Wei Ling tidak lagi tinggal di situ.

Tambahnya, sebagai satu-satunya waris sah dan pemilik 38 Oxley Road yang masih hidup, beliau akan menunaikan hasrat bapanya selepas Wei Ling meninggal dunia baru-baru ini.

“Selepas kematian adik saya, saya adalah satu-satunya waris yang masih hidup bagi harta pusaka ayah saya Lee Kuan Yew.

“Dalam wasiatnya, dia berharap agar rumah itu dirobohkan “sejurus selepas” Wei Ling berpindah dari rumah itu. Adalah menjadi kewajipan saya untuk melaksanakan kehendaknya dengan sepenuhnya mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Hsien Yang berkata, dia berhasrat untuk membina rumah kecil di tapak tersebut selepas rumah yang dibina Kuan Yew dirobohkan.

Dalam kenyataan itu, Hsien Yang turut berkongsi wasiat ayahnya yang mengisytiharkan hasrat beliau dan mendiang isteri Kwa Geok Choon untuk merobohkan rumah yang dibina sejak 1940-an selepas kematian mereka dan selepas Wei Ling tidak lagi tinggal di rumah tersebut.

Dalam wasiat itu Kuan Yew meminta anak-anaknya memastikan wasiat tersebut dilaksanakan.

“Sekiranya anak-anak kami tidak dapat merobohkan rumah ini akibat sebarang perubahan undang-undang, peraturan atau peraturan yang mengikat mereka, saya berharap agar rumah ini tidak dibuka kepada orang lain kecuali anak-anak saya, keluarga dan keturunan mereka.

“Pandangan saya mengenai perkara ini telah didedahkan kepada umum sebelum ini dan kekal tidak berubah. Kenyataan hasrat saya dalam perenggan 7 ini mungkin didedahkan secara terbuka walaupun Wasiat saya yang lain adalah peribadi,” kata Kuan Yew.

Wei Ling, 69 tahun yang juga anak perempuan dan bongsu Kuan Yew, meninggal dunia pada 9 Oktober lalu.

Mendiang Wei Ling yang juga adik kepada Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong mendedahkan, pada 2020 dia didiagnos penyakit progressive supranuclear palsy (PSP).-Agensi



Source link

OR

Scroll to Top