Anak Patrick Kluivert cipta sensasi di Molineux

Anak Patrick Kluivert cipta sensasi di Molineux


PENALTI hatrik dijelmakan Justin Kluivert, anak legenda hebat Belanda, Patrick Kluivert, tidak hanya membolehkan Bournemouth membawa keluar tiga mata berharga dari Stadium Molineux selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers 4-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Malah, sentuhan anak muda kelahiran Amsterdam, Belanda yang memulakan karier bola sepak bersama kelab remaja SV Diemen (2005-2006) diikuti Ajax (2007–2016) sebelum bersama Jong Ajax (2016-2017) kemudiannya Ajax Amsterdam menjadikan Kluivert berusia 25 tahun itu pemain pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris menjaringkan hatrik penalti dalam satu perlawanan.

“Sesuatu yang indah apabila dapat masuk dalam rekod sejarah, sangat menakjubkan, saya sangat gembira dengan pencapaian ini.

“Saya berlatih mengambil sepakan penalti bersama penjaga gol hebat, Kepa (Arrizabalaga). Kami sentiasa mencuba beberapa perkara, yang pertama saya hentikan, dan lihat penjaga gol, apa yang dia lakukan? Kemudian yang kedua saya menukarnya manakala yang ketiga, dia tidak tahu apa tindakan yang saya akan lakukan.

“Apa yang penting di Molineux, kami telah buktikan bahawa kami boleh menewaskan banyak pasukan dalam liga ini. Saya gembira,” kata Kluivert.

Gol angkatan The Cherries dijanakan Kluivert (m-3, m-17, m-84), dan Milos Kerkez (m-8) membolehkan kelab kendalian Andoni Iraola itu mengakhiri rentetan kekalahan dua perlawanan bagi mengumpul 18 mata selepas 13 perlawanan.

Kekalahan kelapan diukir Wolverhampton (9 mata) pula menyaksikan anak buah kelab asuhan Gary O’Neil kembali berstatus dalam kelompok tiga tercorot bersama kelab bajet sederhana Ipswich Town (9 mata) dan Southampton (5 mata) selepas masing-masing mengharungi 13 perlawanan.



Source link

OR

Scroll to Top