Tokyo: Ryota Haga, anak kedua pelumba terkenal Jepun Noriyuki Haga maut selepas terbabit kemalangan ketika menyertai perlumbaan di negaranya, kelmarin.
Berita sedih itu yang mengejutkan dunia permotoran disahkan pasukannya Yamaha semalam: “Berita duka daripada All Japan Road Race Championship hari ini mengenai Ryota Haga, anak kepada Noriyuki. ”
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya dan turut bersimpati. Semoga keluarga Ryota tabah menghadapi khabar duka ini.”
Ryota baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 pada 25 Ogos dan menyertai kejohanan Japanese Supersport 600 menggunakan jentera Yamaha R6.
Dia mengikut jejak langkah bapanya Noriyuki yang muncul pelumba kelima paling banyak meraih kejuaraan dalam sejarah Kejohanan World Superbike selain turut berlumba di Kejohanan Superbike British dan MotoGP.
Menurut laman sesawang GPOne.com, insiden berlaku apabila pelumba muda Jepun itu tersekat di grid dan dua pelumba di belakang gagal mengelak daripada berlaku perlanggaran dengannya.
Penganjur mengibarkan bendera merah dan membatalkan perlumbaan. Ryota dikejarkan ke hospital tetapi doktor gagal menyelamatkan nyawanya akibat kecederaan parah dialami pelumba itu.
Kematian tragisnya dianggap kehilangan besar kepada dunia permotoran dan ditangisi peminat yang melihat dia mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd