Anak saya trauma, menangis selepas tengok tanah runtuh – Shireen

Anak saya trauma, menangis selepas tengok tanah runtuh – Shireen


AMPANG – “Sudah banyak kali berlaku runtuhan kecil berhampiran kawasan kejadian.”

Itu dakwa salah seorang penduduk Jalan E6, Taman Melawati di sini hari ini.

Menurut Shireen Nik Ibrahim, 54, aliran air di kawasan lereng bukit dipercayai sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Shireen Nik Ibrahim

Katanya, keadaan itu menyebabkannya sekeluarga takut dan bimbang kerana lokasi rumahnya kira-kira 50 meter dari lereng bukit terbabit.

“Keadaan ini menyebabkan setiap kali hujan, saya berasa tidak selamat, jika ada tanah runtuh kecil kami akan update (maklum) dalam WhatsApp grup.

“Untuk maklumkan, ini merupakan tanah runtuh terbesar sejak saya tinggal di sini sejak tahun 2000 walaupun sebelum ini ada berlaku runtuhan kecil di tepi lereng ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Shireen, sebelum ini pihak persatuan penduduk telah melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kejadian itu.

Penduduk yang membersihkan kawasan rumah yang berlumpur berikutan tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi tadi ketika di Taman Melawati, Ampang. Foto MOHD ADZLAN, 15 OKTOBER 2024.

Malah bantahan terhadap berhubung perancangan pembinaan baharu di atas lereng bukit tersebut juga telah dibuat penduduk.

Shireen juga berkongsi insiden tanah runtuh sekitar pukul 9.30 pagi tadi ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Saya menerima panggilan dari jiran memaklumkan insiden itu dan terdengar ada suara wanita menjerit dan segera menghubungi anak saya.

“Anak saya umur 26 tahun nampak kejadian tersebut berlaku dua runtuhan yang ketika itu kami dalam kereta ingin pergi kerja sebelum ternampak ada pokok jatuh.

“Sehingga kini anak saya itu trauma dan menangis sampai tak mahu jumpa orang akibat kejadian tersebut,” katanya.

Jelasnya, kejadian tersebut turut menyebabkan pondok pengawal ke kawasan parkir kawasan rumahnya rosak akibat tanah runtuh terbabit.

“Sebelum ini pun saya pernah cakap bila-bila masa boleh jadi lagi dan hari ini memang benar terjadi nasib tidak melibatkan nyawa.

“Beberapa minggu lalu pun, ada pihak kontraktor datang maklumkan ingin buat tembok penahan pada September lalu dan mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) namun sehingga kini tiada apa-apa dibuat,” ujarnya.

Hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Taman Melawati, Ulu Kelang di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut sekitar pukul 11.42 pagi tadi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top