Anak susah tegur, ibu bapa sukar mengalah

Anak susah tegur, ibu bapa sukar mengalah


ANAK-ANAK masa kini sukar ditegur, malah ada yang cepat merungut dan melenting apabila dinasihati oleh ibu bapa yang dianggap tidak memahami dunia moden.

Ya, begitulah realiti zaman sekarang. Jurang generasi bukan perkara baharu, namun ia makin terasa dalam dunia serba pantas. Kadang-kadang salah faham kecil pun boleh menjadi besar kerana perbezaan cara fikir antara ibu bapa dan anak.

Sedangkan, keluarga sepatutnya jadi tempat paling tenang, tempat untuk kita kembali selepas penat menguruskan rutin.

Ibu bapa generasi terdahulu membesar dalam keadaan serba kekurangan. Mereka biasa berlapar, berjimat cermat dan tahu betapa peritnya mencari sesuap nasi.

KELUARGA yang bahagia adalah jambatan menuju reda ALLAH SWT. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Maka, mereka sangat menitikberatkan soal disiplin, kerja keras dan tidak sesekali membazir walau sedikit.

Berbeza dengan anak-anak hari ini yang lahir dalam suasana lebih selesa, penuh teknologi dan pilihan. Generasi itu lebih terbuka dengan idea baharu, berani bersuara dan mahu diberi ruang membuat keputusan sendiri.

Kadangkala cara mereka bertutur kelihatan seperti mahu ‘melawan’, sedangkan hakikatnya mereka cuma mahu suara didengari.

Di sinilah letaknya cabaran. Ibu bapa perlu akur zaman sudah berubah, manakala anak-anak jangan sesekali melupakan bahawa pengalaman orang tua adalah khazanah yang tidak akan ditemui dalam buku atau internet.

Adab pengikat kasih

Islam sangat menekankan adab dalam hubungan anak dan ibu bapa.

BAYANGKAN sebuah rumah di mana anak sentiasa menghormati orang tua, sementara ibu dan ayah tidak putus mendoakan anak dalam setiap sujud, nescaya kediaman itu terasa bagaikan syurga dunia. -Foto: CANVA

BAYANGKAN sebuah rumah di mana anak sentiasa menghormati orang tua, sementara ibu dan ayah tidak putus mendoakan anak dalam setiap sujud, nescaya kediaman itu terasa bagaikan syurga dunia. -Foto: CANVA

ALLAH berfirman: “Dan KAMI perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya.” (Surah al-‘Ankabut: 8)

Berbuat baik bukan hanya menurut kata, tetapi juga menghormati pandangan, menjaga hati dan tidak merendahkan kedudukan.

Seandainya ibu bapa kurang mahir teknologi, jangan pula anak mengeluh atau marah. Sebaliknya, ajarlah dengan sabar, senyuman dan penuh hormat.

Pada masa sama, ibu bapa juga ada panduan daripada Rasulullah SAW: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Hadis itu jelas mengingatkan bahawa kelembutan dan kasih sayang adalah kunci utama. Mengertilah, anak-anak memerlukan bimbingan, bukan sekadar arahan yang keras.

Saling memahami

Konflik biasanya timbul apabila kedua-dua pihak enggan mengalah dan masing-masing mahu menang. Anak merasakan dirinya lebih tahu kerana faham situasi semasa, sementara ibu bapa yakin pengalaman hidup mereka jauh lebih berharga.

WALAUPUN jurang generasi tidak dapat dielakkan, ia bukan penghalang untuk hidup bahagia. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

WALAUPUN jurang generasi tidak dapat dielakkan, ia bukan penghalang untuk hidup bahagia. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Contoh mudah adalah soal kerjaya. Ada ibu bapa mahu anak memilih pekerjaan ‘selamat’ seperti guru, jururawat atau pegawai kerajaan.

Namun, anak-anak zaman moden mungkin cenderung kepada bidang baharu yang kedengaran asing bagi generasi lama seperti pereka grafik, pencipta kandungan digital atau perniagaan dalam talian.

Jika kedua-duanya saling memahami, insya-ALLAH ada titik temunya. Anak boleh mencuba bidang yang diminati, tetapi tetap dengan doa, restu dan bimbingan ibu bapa.

Begitu juga halnya dalam gaya hidup. Anak-anak teruja mengikut trend semasa, manakala ibu bapa pula terlalu ‘keras’ menekankan kesopanan.

Sebaiknya, biarlah kedua-dua pihak saling mendengar. Anak belajar menjaga aurat, sementara ibu bapa tidak terlalu menekan sehingga wujud keseimbangan.

Jangan lupa, rumah merupakan madrasah pertama. Jika hubungan dengan ibu bapa renggang, anak-anak mungkin cari perhatian di luar yang dibimbangi membawa ke jalan salah.

Seandainya rumah dipenuhi kasih sayang dan saling memahami, anak akan berasa dilindungi serta lebih mudah membesar menjadi insan yang baik.

Hakikatnya, anak-anak memerlukan sentuhan lembut dan teladan yang baik, bukan sekadar perintah. Ibu bapa pula mengharapkan penghormatan tulus, bukan ketaatan kosong.

Apabila kedua-dua pihak memahami peranan masing-masing, barulah keluarga menjadi benteng kuat menghadapi cabaran dunia moden.

MESKIPUN jurang generasi tidak dapat dielakkan, ia bukan penghalang untuk hidup bahagia. Anak moden segar dengan idea baharu, manakala ibu bapa lama kaya dengan pengalaman. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

MESKIPUN jurang generasi tidak dapat dielakkan, ia bukan penghalang untuk hidup bahagia. Anak moden segar dengan idea baharu, manakala ibu bapa lama kaya dengan pengalaman. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Bayangkan sebuah rumah di mana anak sentiasa menghormati orang tua, sementara ibu dan ayah tidak putus mendoakan anak dalam setiap sujud, nescaya kediaman itu terasa bagaikan syurga dunia.

Meskipun jurang generasi tidak dapat dielakkan, ia bukan penghalang untuk hidup bahagia. Anak moden segar dengan idea baharu, manakala ibu bapa lama kaya dengan pengalaman. Kedua-duanya ibarat dua sisi mata wang. Tanpa salah satu, nilainya berkurang.

Marilah kita mencari titik temu yang mana anak-anak belajar menghormati, manakala ibu bapa pula belajar memahami.

Apabila kasih sayang, doa ikhlas dan sikap saling mendengar dijadikan asas, insya-ALLAH rumah tangga akan menjadi tempat paling indah meskipun zaman terus berubah.

Daripada keluargalah lahir generasi soleh, masyarakat penuh rahmat dan umat yang kuat. Semua itu bermula dengan keluarga yang saling memahami.

Imam al-Ghazali pernah berpesan: “Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya, kerana mereka diciptakan untuk zaman yang bukan zamanmu.”

*Artikel ditulis oleh Ustaz Ahmad Fahmi Azalee, Ketua Program Diploma Pengajian Islam, Kolej UNITI Kota Bharu, Kelantan



Source link

OR

Scroll to Top