'Anak tak beritahu ke sungai, jarang keluar rumah'

'Anak tak beritahu ke sungai, jarang keluar rumah'



am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Anak tak ada beritahu dia nak ke sungai, malah dia jarang keluar rumah sebab tu saya terkejut bila dapat berita anak lemas,” kata ibu remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di pintu air Pangkal Kalong, Kok Lanas, di sini.

Nurafidah Mohd Yusuf, 31 berkata, anaknya, Muhammad Aqif Aisar Azrie Faisal, 13 seorang yang pendiam dan sering memberitahu jika ingin ke mana-mana.

Katanya, dia juga tidak tahu anaknya ke sungai bersama rakan-rakan memandangkan anaknya berada di rumah neneknya, Zaiton Awang Hamat, 57 di Kampung Lubok Besar, manakala dia berada di rumah di Kok Lanas.

“Kali terakhir berjumpa anak pada jam 3.30 petang tadi di rumah neneknya (Zaiton), anak duduk sahaja di tangga tapi tak beritahu nak keluar.

“Biasanya dia hanya keluar rumah untuk main bola, kalau tak, dia hanya berkurung dalam rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Nurafidah berkata, mangsa adalah anak sulung daripada empat beradik bersama suami, Azrie Faisal Abd Aziz, 31.

Katanya, dia mengetahui kejadian daripada ahli keluarga yang menghubunginya kira-kira jam 5 petang.

Terdahulu mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Kalong dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi di tali air berkenaan bersama tiga lagi rakan.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa dan Machang serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top